KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak empat unit kenderaan pengangkut berperisai (APC) bagi memperkukuhkan pengoperasian dalam menjaga keselamatan negara terutamanya di sempadan negara.
Perolehan bernilai RM10.72 juta itu dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menerusi pembekal Global Komited Sdn. Bhd. dengan tempoh kontrak 24 bulan bermula 30 Mac 2024 hingga 29 Mac 2026.
Kenderaan jenama International Armoured Group (IAG) model IAG Guardian CEN Level B6 itu dilengkapi sistem komunikasi dan ciri keselamatan taktikal selain boleh memuatkan lapan penumpang.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, ia akan diagihkan kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mana dua kepada Briged Tengah manakala masing-masing satu unit kepada Briged Utara serta Briged Tenggara.
“Skuadron Perisai memainkan peranan penting sebagai perlindungan perisai dan bantuan tembakan dalam penugasan operasi PDRM.
“Fungsi utamanya adalah memberikan perlindungan dalam rangkaian perhubungan jalan, rondaan kawasan, membersihkan halangan di jalan raya, mengiringi konvoi dan mengadakan sekatan jalan raya.
“Antara lain sebagai kenderaan mengangkut anggota atau logistik, memberikan bantuan tembakan, menjalankan operasi menyelamat mangsa di kawasan krisis serta membuat piket dan pos pemerhati (OP),” katanya dalam sidang akhbar selepas menerima penyerahan APC di Bukit Aman di sini, hari ini.
Menurutnya, kenderaan itu turut digunakan pelbagai agensi keselamatan antarabangsa termasuk UNIFIL MALBATT, Lithuania Public Security Service, Chile Gendarmerie, Bulgaria Special Forces, People’s Public Security Of Vietnam, Senegal Police Force dan Nigeria Armed Forces.
“Penggunaan kenderaan itu membuktikan keberkesanannya di lapangan selain meningkatkan keupayaan taktikal anggota PGA dalam pelaksanaan tugas berisiko tinggi,” katanya. – UTUSAN






