PUTRAJAYA: Pembongkaran sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan cerut menerusi Op Sikaro kelmarin hasil penahanan lima pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Op Sohor pada 13 Ogos lalu.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan awal mendapat sindiket ini dipercayai mempunyai kaitan secara langsung dengan pegawai ATM yang ditahan pihaknya sebelum ini.
Katanya, tindakan melalui Op Sikaro ini merupakan hasil siasatan berjaya dibongkar pasukan perisikan SPRM melalui Op Sohor.
“Ini (Op Sikaro) adalah satu daripada hasil daripada tindakan kami dalam pengintipan atau perisikan dan keputusan yang kami dapat berasaskan itu (Op Sohor).
“Kita tidak tunggu lama dan terus ambil tindakan dalam tempoh seminggu dua operasi, itulah (Op Sikaro) kerja kami.
“Saya telah mengeluarkan arahan untuk mengambil tindakan (tangkap) mereka yang terlibat dalam isu penyeludupan kerana ia menyebabkqn kerugian besar kepada kerajaan,” katanya kepada pemberita dalam sesi khas bersama media di Ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Menurutnya, Op Sikaro yang diketuai oleh SPRM dengan kerjasama strategik melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Jelasnya beliau, pihaknya tahun ini turut memberi fokus kepada jenayah bersindiket bagi memulihkan aset-aset.
“Kita akan fokus kepada jenayah bersindiket bagi memulihkan aset negara,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan SPRM telah merakam percakapan 10 individu dan menyiasat 14 syarikat dipercayai terlibat sindiket penyeludupan tembakau, rokok serta cerut yang menyebabkan kerugian kepada hasil negara dianggarkan lebih RM250 juta bagi tempoh tahun 2020 hingga 2024.
Sumber dilaporkan berkata, sindiket juga dipercayai menggunakan taktik pengisytiharan palsu semasa proses import dengan menukar kod kastam atau butiran barang.
SPRM telah membekukan beberapa akaun bank miik persendirian dan akaun syarikat melibatkan nilai kira-kira RM218 juta dan sedang menyiasat bagi mengesan aset lain yang diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram oleh pegawai kastam yang disyaki terlibat serta syarikat pengimport.
Siasatan difokuskan kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta AMLATFPUAA 2001.
Pada 13 Ogos lalu, dua wartawan antara 10 individu termasuk lima pegawai kanan ATM yang direman SPRM selama tujuh hari sehingga 20 Ogos. – UTUSAN





