PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menjurus kepada urusan pembelian hartanah membabitkan seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang direman empat hari, semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, individu berkenaan merupakan pegawai gred Jusa B yang menduduki jawatan tertinggi di bawah pejabat Datuk Bandar Kuala Lumpur.
“Pegawai terbabit antara pengarah kanan di bawah pejabat Datuk Bandar.
“Sebahagian siasatan SPRM kini melibatkan pembelian hartanah terutamanya sebuah kondominium yang dikaitkan dengannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, katanya, SPRM masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.
Semalam media melaporkan tiga individu termasuk seorang pegawai kanan DBKL direman empat hari kerana terlibat dalam kegiatan rasuah dipercayai sejak 11 tahun lalu.
Tangkapan itu disahkan Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin.
Sumber dilaporkan berkata, turut ditahan seorang pemilik syarikat dan seorang orang awam kerana disyaki terbabit rasuah sejak 2014.
“Dua suspek yang juga pemilik syarikat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an masing-masing ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan sekitar pada 1 hingga 2 petang.
“Suspek lelaki yang berkhidmat di agensi pihak berkuasa tempatan di ibu negara berusia lingkungan 50-an pula ditahan sekitar pukul 4 petang di pejabatnya,” katanya.
Ketiga-tiga suspek dipercayai terbabit rasuah sejak 2014, yang mana suspek berjawatan pemilik syarikat itu dipercayai membayar rasuah kepada pegawai PBT berkenaan sebagai balasan membantu mendapatkan projek di agensi itu.
SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM150,000, empat peranti telekomunikasi, dua unit kenderaan jenis Lexus RX500h serta Mini Cooper, beg tangan serta kasut berjenama Hermès dan Louis Vuitton.
Sebanyak 19 akaun perbankan milik individu serta syarikat membabitkan nilai lebih RM7 juta turut dibekukan. – UTUSAN





