PETALING JAYA: Beberapa dokumen berkaitan proses permohonan dan pendaftaran kewarganegaraan membabitkan tujuh pemain kebangsaan telah diperoleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM berkata, pihaknya telah berhubung dengan pihak Kementerian Dalam Negeri selain mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Hasil daripada kerjasama tersebut, SPRM telah dibekalkan dengan beberapa dokumen berkaitan proses permohonan dan pendaftaran kewarganegaraan pemain-pemain terbabit.
“Berdasarkan semakan awal, SPRM ingin menegaskan bahawa isu ini dilihat sebagai berkaitan dengan proses teknikal dan tidak berada dalam bidang kuasa SPRM buat masa ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata SPRM, selain itu, tiada sebarang asas kesalahan dikenal pasti di bawah Akta SPRM 2009 setakat ini.
Katanya, SPRM justeru itu tidak akan berhubung dengan FIFA dan menyerahkan sepenuhnya isu ini kepada FAM untuk diselesaikan bersama FIFA.
“SPRM menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada proses penyelesaian yang sedang berlangsung dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan perbincangan antara pihak-pihak yang terlibat,” jelasnya.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, satu siasatan dimulakan SPRM berhubung dakwaan itu dan beliau sudah mengarahkan pasukan siasatan untuk mengadakan pertemuan dengan FIFA dalam masa terdekat.
“Saya akan menghantar pegawai saya secepat mungkin daripada bahagian siasatan yang diketuai oleh pengarah bahagian siasatan, Datuk Zainul Darus untuk berjumpa ataupun berkomunikasi dengan pihak FIFA untuk mengetahui apa sebenar yang berlaku.
“Sekiranya kita mendapati ada berlakunya sebarang kesalahan jenayah di bawah bidang kuasa kami, SPRM akan menjalankan siasatan,” katanya.
Azam berkata, siasatan boleh dilakukan meskipun tiada laporan rasmi berhubung isu itu.
“Oleh kerana perkara ini timbul dalam media dan saya lihat ini satu perkara yang melibatkan kepentingan awam.
“Kita (SPRM) tidak menunggu sebarang aduan rasmi dibuat dan kita boleh mengambil tindakan kerana masyarakat sudah mengetahui tentang perkara ini,” jelasnya.
Sebelum ini, FIFA dalam kenyataannya memaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FAM didakwa menyerahkan dokumen yang dipalsukan dalam urusan pengesahan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.
Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.
Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak RM1.8 juta (CHF350,000)
Setiap pemain pula dikenakan denda RM 10,560 (CHF2,000) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta.
FIFA turut merujuk isu kelayakan pemain terbabit untuk mewakili Malaysia kepada Tribunal Bolasepak FIFA bagi pertimbangan lanjut. – UTUSAN





