PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung empat laporan polis berhubung penerimaan ugutan melalui penyebaran video lucah palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) membabitkan beberapa ahli politik tempatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, mangsa terdiri daripada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menerima e-mel berunsur ugutan dengan tuntutan bayaran dalam mata wang kripto.
Menurutnya, modus operandi kesemua kes terlibat hampir sama iaitu pengirim e-mel menuntut bayaran sebanyak 100,000 USDT dalam tempoh tiga hari, dengan ancaman menyebarkan video lucah palsu menggunakan wajah mangsa sekiranya tuntutan tidak dipenuhi.
“Kes pertama melibatkan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang menerima e-mel ugutan pada 12 September lalu. Pengirim menuntut bayaran dan memberi amaran video palsu akan disebarkan sekiranya arahan tidak dipatuhi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kumar berkata, kes kedua pula melibatkan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Nelson W. Angang yang turut menerima e-mel dengan permintaan sama dan ancaman penyebaran video lucah palsu.
Beliau menambah, ADUN Kulim, Wong Chia Zhen juga menjadi sasaran dengan taktik serupa apabila menerima ugutan bayaran berjumlah 100,000 USDT dan di minta untuk membayar jumlah tersebut dalam tempoh tiga hari.
“Kes keempat membabitkan Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari yang turut menerima e-mel ugutan dengan modus operandi sama,” katanya.
Katanya, kesemua laporan polis yang diterima disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kumar menyatakan, pihak PDRM juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pemilik e-mel serta mendapatkan butiran berkaitan untuk tujuan siasatan lanjut.
Beliau menjelaskan, jika disabitkan kesalahan, mereka yang terbabit dengan perbuatan pemerasan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda atau sebatan, manakala kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
“PDRM memberi amaran keras bahawa mana-mana pihak yang terlibat menghasilkan, menyebarkan atau menggunakan bahan berunsur fitnah dan lucah seperti ini akan dikenakan tindakan undang-undang tanpa kompromi,” katanya. – UTUSAN






