KUALA LUMPUR: Polis menahan empat remaja lelaki berusia antara 16 hingga 23 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes samun yang menyebabkan seorang lelaki cedera di kepala, muka dan tangan selepas terkena kelaran pisau.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku di Wangsa Maju, 5 November lalu setelah mangsa, seorang lelaki berusia 21 tahun, cuba meleraikan salah faham antara suspek dan rakannya.
“Dalam kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan akibat terkena kelaran pisau, manakala suspek turut melarikan barangan milik rakan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga mendatangkan kecederaan.
“Keempat-empat suspek telah direman selama tujuh hari bermula 6 hingga 12 November 2025 bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta kemungkinan terdapat suspek lain yang terlibat,” katanya. – UTUSAN





