PETALING JAYA: Polis mengesahkan seramai 12 anggota polis yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu kes samun membabitkan kerugian mata wang kripto milik seorang warga asing tidak dibenarkan menjalankan tugas aktif sehingga siasatan selesai.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, tindakan lanjut akan diambil terhadap anggota polis terlibat terhadap sebarang kes yang menyalahi undang-undang.
“Kita mengambil kenyataan-kenyataan mereka yang berkaitan dan berdasarkan itu nanti kita akan ambil tindakan lanjut.
“Buat sementara ini, kita (polis) tidak beri mereka kepada tugas-tugas aktif dan berada di pejabat bagi memastikan bahawa siasatan kita dapat dijalankan dengan baik dan sempurna,” katanya kepada media selepas Majlis Sumbangan Yayasan Seri Negara dan Penyerahan Zakat Wakalah PBLT Sdn Bhd di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, dekat sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan penahanan 12 anggota polis berkenaan setelah menerima laporan pada 6 Februari lalu berhubung kejadian samun dilaporkan berlaku di Kajang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. – UTUSAN





