MELAKA: Seorang pelajar berusia 12 tahun di sebuah rumah anak yatim di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini dipercayai menjadi mangsa buli fizikal membabitkan sekumpulan pelajar senior dalam kejadian pada 29 April lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan polis pada pukul 7.11 malam daripada ibu mangsa yang mendakwa anaknya telah dipukul dan didera oleh pelajar lain yang dikenali.
“Siasatan awal mendapati mangsa telah dipukul, ditendang selain kepalanya direndam ke dalam baldi berisi air. Mangsa juga diseret di atas lantai tandas oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, susulan laporan tersebut, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah telah menjalankan operasi dan menahan empat remaja lelaki pada 30 April kira-kira pukul 3.45 petang.
Katanya, kesemua suspek berusia antara 15 hingga 16 tahun itu merupakan pelajar sekolah menengah, tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah.
“Keempat-empat suspek telah ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut.
“Orang ramai diminta mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sebelum berkongsi sesuatu maklumat di media sosial.
“Pihak polis akan terus komited dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya. – UTUSAN





