KUALA LUMPUR: Empat individu warga asing dan seorang lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah melebihi dua kilogram, bulan lalu.
Tiga lelaki warga Taiwan, Lu Jui Tse, 27; Chang Heng Pin, 37; Hsu Chia Kuei, 28; seorang wanita warga Vietnam, Do Thi Thanh Thanh, 20, dan lelaki tempatan, Yee Wei Keh, 37, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan di dua mahkamah berbeza.
Di hadapan Majistret Amalina Basirah Md. Top, tertuduh, Jui Tse, Heng Pin, Thanh Thanh dan Wei Keh didakwa bersama-sama mengedar kokain seberat 2,767 gram di sebuah unit kondominium di Ampang pada pukul 4.15 petang, 25 Jun lalu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) ADB yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebat tidak kurang 15 kali, jika tidak dikenakan hukuman mati.
Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, di hadapan Majistret Normaizan Rahim, tertuduh, Chia Kuei didakwa atas dua pertuduhan mengedar dadah MDMA sebanyak 140 mililiter dan kokain seberat 56 gram serta memiliki kanabis seberat 40.68 gram pada pukul 4.35 petang di lokasi dan tarikh sama.
Bagi pertuduhan memiliki dadah, dakwaan dibuat mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau maksimum lima tahun serta minimum tiga sebatan dan maksimum sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi dua pertuduhan mengedar dadah, tiada pengakuan direkodkan manakala bagi pertuduhan memiliki bahan terlarang itu, Chia Kuei mengaku tidak bersalah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amirah Zahari dan S. Kirthana manakala kesemua tertuduh diwakili peguam R. Maran dan Farra Emira Amir Firdaus.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 dan 23 September ini untuk sebutan semula kes serta laporan kimia.
Pada 1 Julai lalu, media melaporkan polis berjaya menumpaskan kegiatan memproses cecair rokok elektronik (vape) mengandungi dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM21.85 juta dalam dua serbuan berasingan di kondominium yang dijadikan makmal haram di sekitar Ampang pada 25 Jun lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, menerusi serbuan pertama, pihaknya berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita warga asing serta seorang lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah bersama peralatan pemprosesan vape. – UTUSAN





