KOTA KINABALU: Ketua warden, Azhari Abd. Sagap memberitahu perilaku Allahyarham Zara Qairina Mahathir adalah sama seperti pelajar Tingkatan Satu yang lain.
Tambahnya, pada awal sesi persekolahan, Zara Qairina juga dilihat tidur dalam kelas namun tidak lagi berbuat demikian selepas peperiksaan penggal pertama.
Sewaktu remaja terbabit ditemukakan dalam keadaan tidak sedarkan diri, sesi persekolah baru bermula empat bulan.
Mohd. Fairuz: Awak juga mengajar kelas Zara Qairina. oleh terangkan Zara Qairina ni macam mana orangnya?
Azhari: Pada pandangan saya, Zara Qairina ni macam pelajar tingkatan satu yang lain, macam biasa. (Pada awalnya) tidur dalam kelas, mungkin sebab masib belum biasa tinggal di asrama. Selepas peperiksaan penggal pertama, dia dah kurang tidur dalam kelas.
“Bila saya minta Zara Qairina `volunteer’ untuk menulis di hadapan, Zara Qairina akan `volunteer’. Dia tak tunjukkan kemurungan atau sedang mengalami masalah,” kata guru Bahasa Arab yang turut dikenali sebagai Ustaz Azhari.
Tambahnya, sepanjang beliau mengajar kelas Zara Qairina juga, remaja terbabit juga tidak pernah menerima sebarang aduan daripada pelajar terbabit.
Menceritakan mengenai hari Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri, saksi inkues kelapan itu memberitahu beliau telah membuat panggilan kecemasan sebanyak dua kali iaitu pada 3.17 pagi dan 3.47 pagi.
Azhari turut memberitahu cuba menghubungi ibu bapa Zara Qairina namun panggilan tidak dijawab.
Menurut keterangan saksi keenam, pengawal keselamatan sekolah, Lina Mansoding @ Jaliha sebelum ini, ambulans tiba di asrama berkenaan pada pukul 4 pagi.
Pada hari yang sama, pada pukul 11.15 pagi, ketika berada di Hospital Queen Elizabeth, beliau dimaklumkan oleh seorang guru bernama Cikgu Gloria yang menjumpai dua buah diari berwarna hijau dan ungu dari almari milik Zara Qairina.
“Saya kemudiannya meminta Cikgu Gloria menyerahkan kedua-dua diari tersebut kepada Cikgu Yuslina. Pada keesokan harinya (17 Julai lalu), semasa berada di Hospital Queen Elizabeth jam lebih kurang 3.30 petang, ibu Zara memaklumkan saya ingin mengambil barang-barang Zara di asrama. Saya telah meminta Cikgu Miswati membantu mengemaskan barang-barang Zara di almari dan letakkan di bilik isolasi di aras bawah, Blok B.
“Saya dimaklumkan oleh Cikgu Miswati bahawa beliau telah menjumpai sebuah lagi buku diari berwarna coklat dan sebuah buku latihan milik Zara di dalam almari tersebut. Saya telah meminta Cikgu Miswati menyerahkan kedua-dua buku tersebut kepada Cikgu Yuslina.
“Pada 18 Julai lalu, lebih kurang pukul 8.30 pagi, saya telah bertemu dengan Cikgu Yuslina dan diserahkan empat buah buku milik Zara kepada saya. Pada tarikh yang sama jam lebih kurang 5.00 petang, saya telah menyerahkan keempat-empat buku milik Zara tersebut kepada pegawai penyiasat. Pada 19 Julai lalu, lebih kurang pukul 1 petang, saya telah diserahkan 15 helaian kertas diari milik Zara oleh Cikgu Yuslina.
“Cikgu Yuslina memaklumkan kepada saya bahawa 15 helaian kertas tersebut ditemui oleh Cikgu Miswati pada pukul 8i semasa Cikgu Miswati membuat pemeriksaan di rak buku kelas Zara. Saya kemudiannya menyerahkan 15 helaian kertas tersebut kepada Inspektor Wong pada tarikh yang sama jam 3.00 petang,” katanya.
Prosiding kini inkues bermula dengan Azhari menyambung keterangannya. – UTUSAN




