KOTA KINABALU: Pada malam 16 Julai lalu, selepas solat Isyak, saksi kanak-kanak ke-22 menyatakan terdapat beberapa guru sekolah yang memberitahu pelajar perempuan lain di surau bahawa Zara Qairina Mahathir bukan dibuli, tetapi bunuh diri.
Saksi itu tetap dengan jawapan bahawa dia mendengar guru sekolah terbabit mendakwa Zara Qairina membunuh diri, walaupun disoal beberapa kali oleh peguam.
Saksi turut memberitahu, Zara Qairina tidak disukai oleh segelintir pelajar kerana sering menulis nama pelajar yang uzur dan tidak solat berjemaah, selain berasa terganggu apabila Allahyarham kerap bertanya soalan berkaitan keuzuran seseorang.
Katanya, walaupun tidak disenangi oleh segelintir pelajar, Zara Qairina tetap membantu senior-senior yang bertugas sebagai Badar (Badan Dakwah dan Kerohanian) tanpa paksaan.
Dalam pada itu, saksi kanak-kanak ke-21 memberitahu Mahkamah Koroner di sini, hari ini bahawa Allahyarham dalam keadaan pucat dan sedih, ketika dilihat dalam tandas blok A, Rabiatul Adawiyah pada awal pagi 16 Julai lalu.
Katanya, Zara Qairina juga dilihat seperti ‘bukan dirinya’.
Saksi memberitahu, sebelum tragedi, dia pernah melihat Zara Qairina melukis yang mana lukisan-lukisan itu seperti luahan perasaan sedih.
Kata saksi yang tinggal di blok sama tetapi berlainan dorm itu, jika dapat diundurkan waktu, dia berharap dapat memberitahu kepada warden atau guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha bahawa Zara Qairina memerlukan tempat untuk meluahkan segala perasaannya.
Saksi inkues ke-30 itu memberitahu, dia mengenali Zara Qairina sebagai seorang yang sentiasa gembira, ceria dan selesa apabila berada dengan pelajar lain.
Pada prosiding Khamis lalu, saksi tersebut memberitahu, dia ke tandas bersama seorang lagi saksi sekitar pukul 12.30 tengah malam dan terlihat pantulan imej Allahyarham di cermin ketika membasuh tangan.
Kedua-dua saksi itu kemudian keluar dari tandas dan tidak masuk semula ke dalam, walaupun menyedari Zara Qairina berada lama dalam tandas kerana takut.
Sementara itu, saksi kanak-kanak ke-22 memberitahu, dia ada mendengar bunyi tapak kaki di tangga berhampiran dengan tandas, namun tidak melihat kelibat sesiapa pada ketika itu.
Saksi berkenaan memberitahu, ketika bangun untuk mandi pada pukul 2.35 pagi, dia perasan ada seseorang berada dalam bilik tandas pertama, namun tidak mengetahui siapa.
Katanya, dia sering mandi pada waktu berkenaan kerana ingin mengelak daripada berebut bilik mandi.
Prosiding yang didengar oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung esok. – UTUSAN




