PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 45 tahun dan sebat 24 kali yang dikenakan terhadap seorang penghantar barang selepas didapati bersalah melakukan sumbang mahram dan seks luar tabii terhadap anak tirinya yang berusia 11 tahun, empat tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang bersidang bersama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid selepas sebulat suara menolak rayuan lelaki berusia 34 tahun itu turut mengarahkan supaya waran komital dikeluarkan serta pemenjaraan terhadap perayu dijalankan bermula hari ini.
Pada 29 Februari 2024, lelaki itu didapati bersalah atas kesemua pertuduhan dan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 45 tahun dan sebat 24 kali bagi kesemua pertuduhan.
Pada 14 April lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengekalkan sabitan dan hukuman tersebut.
Ketika membaca penghakiman panel terbabit, Hakim Mohamed Zaini berkata, pertuduhan yang dikemukakan tidak cacat walaupun tarikh dan masa kejadian tidak dinyatakan secara spesifik.
“Semasa kejadian, mangsa baru berusia 11 tahun dan masih merupakan seorang kanak-kanak yang memerlukan perlindungan daripada ibu bapanya, walaupun perayu hanya seorang bapa tiri.
“Namun, jenayah yang dilakukan terhadapnya oleh seseorang yang dikenalinya membuatkan mangsa sukar untuk melaporkan kejadian tersebut kepada sesiapa,” kata hakim itu.
Hakim Mohamed Zaini turut berkata, mahkamah juga berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh mangsa mengenai kelewatannya dalam melaporkan jenayah yang dilakukan oleh bapa tirinya.
“Setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak, kami mendapati sabitan ke atas perayu adalah sah dan tiada alasan yang wajar untuk kami mengubah sabitan hakim Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi.
“Ini adalah satu jenayah yang menjijikkan dan mahkamah perlu memberi peringatan bukan sahaja kepada perayu tetapi juga kepada masyarakat bahawa jenayah seksual terhadap kanak-kanak adalah satu jenayah yang dipandang serius,” katanya.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, lelaki tersebut didakwa atas tuduhan merogol anak tirinya di sebuah rumah di Kuala Terengganu, antara Jun hingga November 2021 dan dituduh mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun dan sebatan maksimum 10 kali.
Lelaki itu juga didakwa atas satu lagi pertuduhan memasukkan jari dalam kemaluan mangsa di tempat yang sama pada Jun 2021 dan didakwa di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 30 tahun dan sebatan.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, P. Sarulatha manakala perayu diwakili peguam Muhammad Wafi Anwar Roslan. – UTUSAN





