SHAH ALAM: Seorang pegawai imigresen yang sebelum ini bertugas di Pejabat Imigresen Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atas 46 pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh, Mohamad Fazli Abdul Rahim, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di dua mahkamah berasingan.
Mengikut pertuduhan, di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, dia dituduh menerima suapan RM10,400 secara berperingkat antara RM1,200 hingga RM3,600 daripada daripada Jehan Zeb Khan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan dekat sebuah cawangan bank di USJ, Subang Jaya antara 6 Ogos hingga 17 Ogos 2023 dengan tujuan melepaskan kemasukan warga asing tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Sementara di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin, bapa anak tiga itu didakwa dengan 42 pertuduhan menerima suapan daripada seorang individu bernama Sheikh Nurul Islam secara berperingkat secara keseluruhan sebanyak RM500,100 dari Julai 2022 hingga Ogos 2024.
Malah, pada Ogos 2024, tertuduh didakwa menerima suapan melebihi empat kali ganda gaji Perdana Menteri Malaysia iaitu RM180,000 secara berperingkat sebanyak 14 kali antara 6 hingga 26 Ogos.
Dalam tempoh tersebut, pada 21 Ogos, Mohamad Fazli memperoleh RM80,000 dalam masa sehari apabila menerima empat kali suapan bernilai RM10,000 dan RM50,000.
Justeru, di hadapan kedua-dua hakim, dia dituduh di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Hakim Awang Kerisnada membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM24,000 dengan dua orang penjamin warganegara yang tinggal di Selangor atau Kuala Lumpur.
Sementara di hadapan Hakim Mohd. Nordin, Mohamad Fazli dibenarkan diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin. Sebutan mula kes ditetapkan pada 10 Mac depan.
Kedua-dua mahkamah juga membenarkan cadangan syarat tambahan daripada pendakwaan iaitu melaporkan diri minggu pertama setiap bulan di Pejabat SPRM Shah Alam, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Alimi Mustapha dan Muhammad Arif Mohd. Khairi sementara tertuduh diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad.
Terdahulu, dia dan isterinya dituduh di hadapan dua mahkamah tersebut secara berasingan masing-masing atas tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM404,450 antara Julai 2023 hingga Ogos 2024. – UTUSAN






