GOMBAK: Seorang penceramah bebas dipenjara 10 hari oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di sini, selepas gagal membayar hutang perkahwinan bekas isteri keduanya berjumlah RM120,000.
Mahkamah memerintahkan hukuman bermula hari ini, selain turut memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM3,000.
Hakim Syarie Mohd Faizal Habib menjatuhkan hukuman itu selepas menolak kesemua alasan defendan, Faridul Firdaus Zaulkapli, 40, yang gagal membayar hutang berkenaan sejak 2023.
Hukuman dibuat berdasarkan Seksyen 179 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 berkaitan permohonan untuk mengeluarkan notis penghakiman terhadap defendan selaku penghutang penghakiman.
Defendan memberikan alasan gagal membayar hutang berkenaan kerana mengalami kesempitan kewangan serius selepas tauliah ceramahnya ditarik balik.
Dia turut memberi alasan penanggung tunggal bagi tiga isteri dan 10 orang anak, selain menanggung ibu bapa dan akaun bank dibekukan.
“Penghutang penghakiman (defendan) sepatutnya membayar RM120,000 tersebut dalam tempoh enam bulan dari tarikh penghakiman diserahkan kepadanya sejak 2023. Namun, penghutang ingkar membayarnya.
“Berdasarkan ekshibit-ekshibit yang dilampirkan, penghutang penghakiman mempunyai pendapatan bulanan yang ditunjukkan dalam penyata akaun syarikat miliknya, syarikat Raudhatul Furqan Resources yang jelas membuktikan dia mempunyai sumber dan keupayaan kewangan untuk menjelaskan pembayaran penghakiman mahkamah tersebut.
“Mahkamah juga mendapati penghutang gagal membuktikan perbelanjaan persekolahan 10 anaknya kerana didapati mereka semua hanya home school,” kata hakim.
Mahkamah turut menjelaskan, defendan sepatutnya memohon penjadualan semula bayaran atau mengemukakan cadangan bayaran secara sukarela sekiranya benar menghadapi kesempitan kewangan.
“Sikap ini secara langsung mencabar kewibawaan mahkamah syariah kerana membiarkan perintah mahkamah tidak dipatuhi tanpa sebarang usaha pematuhan, menafikan hak pemiutang penghakiman.
“Keingkaran berterusan penghutang untuk membuat walau satu bayaran kecil sekalipun adalah bukti kukuh keingkaran tersebut adalah disengajakan dan wajar dikenakan tindakan penguatkuasaan yang tegas oleh mahkamah,” kata hakim itu.
Bekas isteri kedua defendan, Norhasyimah Mohamed Arip, 44, diwakili oleh peguam syarie, Musa Awang manakala defendan tidak diwakili peguam.
Sementara itu, Musa berkata, hutang tersebut berserta kos prosiding tetap perlu dibayar oleh defendan walaupun diperintahkan menjalani hukuman penjara.
Tahun lalu, defendan turut didenda RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Selangor selepas mengaku bersalah mengajar agama Islam tanpa tauliah di negeri ini. – UTUSAN






