KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi RM3 juta kepada keluarga aktivis kebajikan, Amri Che Mat, yang hilang hampir sedekad lalu sementara menunggu rayuan.
Pesuruhjaya Kehakiman Zalita Zaidan turut menggantung perintah agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka semula siasatan kehilangan Amri bermula hari ini dan melaporkan perkembangan kepada Peguam Negara setiap dua bulan.
Pada 5 November 2025, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Kerajaan Malaysia dan PDRM membayar ganti rugi selepas membenarkan saman isteri Amri, Noorhayati Mohd Ariffin apabila mendapati plaintif berjaya membuktikan kesnya berdasarkan kepada prinsip imbangan kebarangkalian dan kedua-dua pihak itu bertanggungjawab ke atas kehilangan aktivis berkenaan.
Beliau memutuskan perkara itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak terlibat pada hari ini.
Ketika membacakan penghakiman ringkasnya, Zalita menyatakan bahawa mahkamah mengambil kira terdapat keadaan khas dalam kes ini yang mewajarkan pemberian perintah penangguhan pelaksanaan itu.
Selain itu, katanya, isu penubuhan dan pelaksanaan Pasukan Petugas Khas (STF) yang ditubuhkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 2019, bukan sekadar melibatkan perkara pentadbiran semata-mata, sebaliknya ia merupakan tindakan yang dilaksanakan oleh cabang eksekutif (kerajaan).
“Mahkamah pula berada dalam cabang kehakiman yang berasingan dan perlu kekal bebas dalam menjalankan fungsinya.
“Dalam hal ini, mahkamah tidak berada dalam kedudukan untuk mengarahkan pihak eksekutif melaksanakan tindakan tertentu yang berada dalam bidang kuasa mereka,” katanya.
Pada prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan, Zetty Zurina Kamaruddin mewakili kerajaan selaku defendan manakala peguam Surendra Ananth mewakili isteri Amri, Noorhayati Ariffin selaku plaintif.
Terdahulu, ketika berhujah, Surendra berkata, anak guamnya tidak membantah penangguhan pelaksanaan bagi pembayaran ganti rugi itu kerana mengakui jumlah yang diperintahkan mahkamah adalah agak besar dan melibatkan dana awam.
“Bagaimanapun, kami membantah penangguhan terhadap perintah mahkamah supaya siasatan diteruskan kerana keutamaaan sekarang bagi anak guam adalah mencari suaminya yang hilang,” katanya.
Zetty pula menghujahkan bahawa wujud keadaan khas yang mewajarkan penangguhan kerana perintah khusus Mahkamah Tinggi itu didakwa bertentangan dengan Perlembagaan dan melangkaui bidang kuasa mahkamah.
Jelasnya, perintah Mahkamah Tinggi itu mengandungi tiga komponen iaitu mengarahkan pegawai tertentu dikeluarkan daripada siasatan, memulakan semula siasatan dan melaporkan perkembangan siasatan kepada Peguam Negara setiap dua bulan.
“Ia seolah-olah satu perintah injunksi yang memaksa kerajaan tentang bagaimana untuk melaksanakan tugasnya.
“Kertas siasatan berkaitan kehilangan Amri masih dibuka dan kerajaan tidak pernah menghentikan siasatan. Mahkamah tidak boleh campur tangan dalam bidang kuasa eksekutif dengan menentukan siapa yang boleh atau tidak boleh menjalankan siasatan,” katanya.
Pada 24 November 2016, Amri pengasas bersama Persatuan Kebajikan Perlis Hope, meninggalkan rumahnya di Kangar dengan memandu Toyota Fortuner berwarna perak sekitar pukul 10.30 malam. Noorhayati merupakan individu terakhir yang melihat suaminya.
Keesokan paginya, kenderaan itu ditemukan ditinggalkan di tapak pembinaan Bukit Chabang, kira-kira 25 kilometer dari rumah mereka dalam keadaan tingkap kenderaan pecah, namun bapa kepada empat anak itu tiada di lokasi berkenaan.
Saksi kemudian mendakwa melihat beberapa kenderaan pacuan empat roda mengepung Fortuner dipandu mangsa malam sebelumnya, namun hingga kini identiti mereka masih menjadi misteri.
Kes Amri pada awalnya diklasifikasikan sebagai orang hilang kerana tiada bukti kukuh menunjukkan berlakunya jenayah.
Bagaimanapun, pada tahun berikutnya, seorang anggota polis dari Cawangan Khas (SB) didakwa memberitahu Noorhayati suaminya mungkin dipantau pihak tertentu kerana dikaitkan dengan ajaran Syiah, yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh keluarga.
Pada 3 April 2019, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) melalui inkuiri awam yang dijalankan sejak Oktober 2017, merumuskan bahawa pihak Cawangan Khas Bukit Aman bertanggungjawab terhadap kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri. – UTUSAN






