MELAKA: Barisan peguam Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin telah bersedia untuk proses rayuan petisyen pilihan raya difailkan calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid bagi kerusi itu yang akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 16 Februari 2024.
Mas Ermieyati ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, beliau secara peribadi telah menjangkakan bahawa BN akan bertindak sedemikian sebaik sahaja Mahkamah Pilihan Raya di sini membatalkan petisyen pilihan raya dikemukakan Abdul Hakim pada 27 Oktober lalu.
Beliau berkata, pihaknya telah mempersiapkan semua keperluan untuk pendengaran yang bakal dilakukan melalui sidang video menggunakan platform Zoom.
“Kita memang sudah menjangkakan semasa kita mendapat keputusan mahkamah pada keputusan yang lepas, saya sudah menjangkakan peguam UMNO mereka akan lebih lagi. Betul terbukti mereka telah membuat rayuan semula.
“Kami akan tetap menyediakan kes dan barisan peguam saya tetap bersedia dan saya yakin dan percaya dengan kemampuan dan kewibawaan pasukan peguam kami dan berdasarkan fakta kes itu sendiri.
“Saya harap ia dapat dikekalkan keputusan yang lalu. Saya berharap bahawa kemenangan itu akan kekal kepada saya sebagai Ahli Parlimen,” katanya.
Rayuan petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 16 Februari 2024. Tarikh tersebut ditetapkan pada pengurusan kes petisyen itu di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Rizq Nurrqausar R. M. Bakri.
Mahkamah turut menetapkan pengurusan kes lanjutan pada 31 Januari 2024. Notis rayuan oleh Abdul Hakim difailkan pada 10 November lalu.
Sebelum ini, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan petisyen pilihan raya dikemukakan Abdul Hakim untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Susulan itu, Mas Ermieyati kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas pihak pempestiyen gagal membuktikan wujudnya unsur rasuah pada PRU15. – UTUSAN






