PENAMPANG: “Sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, saya akan fokus kepada kerja saya di kementerian ini.”
Demikian kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Ewon Benedick ketika ditanya berkaitan kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Ewon berkata, PH masih dalam perbincangan mengenai kerjasama dengan GRS dan sebarang kenyataan hanya akan dikeluarkan selepas keputusan dimuktamadkan.
“Beri kami ruang untuk berbincang sesama sendiri, di antara PH dengan semua komponen atau pakatan yang lain,” katanya selepas merasmikan Karnival UDA bersama BizFrancais Pernas di Buhavan Square di sini, hari ini.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau kini masih memberi tumpuan kepada kerja-kerja sebagai menteri.
“Pilihan raya belum lagi. Yang lain, saya akan teruskan perbincangan,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun menyatakan bahawa Majlis Tertinggi GRS telah memutuskan kerjasama di antara kedua-dua pihak yang akan diteruskan dalam PRN nanti. – UTUSAN






