SEREMBAN: Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu membawa setiap pandangan dan hasrat mereka ke mesyuarat Dewan Tertinggi untuk dibincangkan secara bersama.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebarang pandangan yang dibawa di luar mesyuarat itu hanya akan mengundang salah tafsir.
“Saya ingin memberi satu nasihat sahaja sekiranya ada apa-apa pandangan atau hasrat, bawalah ia ke dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN.
“Tidak perlu bercakap di luar kerana kadangkala kenyataan boleh disalah tafsir atau dianggap hasutan.
“Niat kita mungkin baik, tetapi bila disuarakan di luar, ia boleh memberi gambaran negatif atau merosakkan suasana dalam BN itu sendiri,” katanya kepada pemberita pemberita ketika ditemui pada Majlis Karnival Kemerdekaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pinggiran Senawang di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Biro Media MIC Kebangsaan, L. Siva Subramaniam yang menegaskan MIC tidak sanggup lagi menjadi ‘pemerhati bisu’ dalam landskap politik yang semakin meminggirkan suara parti itu.
MIC Kedah malah turut meluluskan resolusi untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan tidak menolak kemungkinan meninggalkan BN namun menyerahkan keputusan muktamad untuk ditentukan kepimpinan Pusat.
Perkembangan itu kemudian mendapat reaksi Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempelawa MIC menyertai PN.
Terbaharu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga mengakui wujud pertemuan dan perbincangan tidak rasmi antara PN, MCA dan MIC.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dalam pada iti berkata, peranan MIC, MCA dan parti komponen lain dalam BN amat penting sejak sebelum merdeka lagi oleh itu sebarang isu atau cadangan wajar dibincangkan secara mendalam melalui Dewan Tertinggi BN. – UTUSAN






