PETALING JAYA: Pemuda UMNO Malaysia menganjurkan konvensyen pada 3 Januari ini bagi mengumpul seluruh suara akar umbi sama ada mereka mahu parti teruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) ataupun tidak.
Ketuanya, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata, konvensyen bertajuk ‘Hala Tuju UMNO, Sama ada kekal Atau Keluar Dari Kerajaan’ pada 3 petang Sabtu ini di Dewan Tun Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC).
Menurutnya, semua yang berani dan mahu menyuarakan isi hati mereka terutama yang menyayangi UMNO untuk hadir supaya pandangan semua pihak dapat diambil sebelum disampaikan kepada kepimpinan tertinggi parti.
“Orang Melayu yang sayangkan perjuangan UMNO ini, ramai-ramai untuk kita datang (ke konvensyen). Biar kita nyatakan hasrat hati kita supaya apa yang kita katakan di konvensyen ini, kita akan bawa kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
“Kita juga akan serahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Saya jemput semua kepimpinan untuk hadir dan dengar sekali apakah isi hati akar umbi yang tidak mempunyai kepentingan kuasa tetapi masih sayangkan perjuangan UMNO,” katanya menerusi klip video berdurasi 2.16 minit di Facebook, hari ini.
Hubungan antara UMNO dan DAP menjadi tegang pada baru-baru ini selepas Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang secara terbuka meraikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan isu Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tindakan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu sekali gus mencetuskan kemarahan dan menyebabkan UMNO Bahagian Puchong mengambil keputusan untuk memutuskan kerjasama.
Sementara itu, Akmal memuji tindakan UMNO Bahagian Puchong dan Pemuda UMNO Selangor yang memutuskan hubungan dengan DAP serta menuntut permohonan maaf dari Bee Yin.
“Tetapi malangnya permintaan itu seolah-olah diabaikan dan sehingga hari ini tidak ada langsung permohonan maaf.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada Pemuda UMNO Selangor dan UMNO Bahagian Puchong yang sudah membuat kenyataan untuk memutuskan hubungan dengan PH di dam Puchong,” katanya. – UTUSAN





