PERSOALAN siapa Menteri Besar baharu Perlis terjawab selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah menepati jangkaan dilantik mengisi jawatan berkenaan menggantikan Mohd. Shukri Ramli yang melepaskan jawatan Khamis lalu.
Abu Bakar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memimpin pentadbiran negeri berbaki tempoh kurang dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pelantikan tersebut mungkin mampu meleraikan kemelut Menteri Besar buat seketika, namun tumpuan kini adalah sejauh mana hubungan Pas dan Bersatu di dalam Perikatan Nasional (PN) mampu dipulihkan selepas ini.
Bersatu pula mengambil pendekatan lebih lembut apabila Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terlebih dahulu mendengar penjelasan lima wakil rakyat terlibat untuk mengetahui kedudukan sebenar isu tersebut.
Sudah pasti kesan daripada isu berkenaan, kepercayaan dan keikhlasan membabitkan hubungan dua parti tersebut di dalam PN akan mula pudar.
Hubungan antara dua parti itu bukan sahaja bakal terjejas teruk di Perlis dan mungkin mengambil masa lama untuk pulih.
Cabaran lebih besar selepas ini bukan hanya tertumpu kepada Menteri Besar baharu tersebut sebaliknya kesinambungan politik PN di Perlis selain kestabilan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Selepas tiga ADUN Pas terhenti keahlian dengan kerusi dikosongkan, komposisi kedudukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis menyaksikan Pas kini tinggal enam wakil rakyat manakala Bersatu lima.
Sudah tidak ada perbezaan ketara daripada segi majoriti dengan bila-bila masa boleh runtuh jika berlaku lagi sebarang kemelut politik selepas ini.
Selain itu, di dalam Pas sendiri sekali pun, Pesuruhjaya Pas negeri, Ahmad Ali juga perlu memainkan peranan penting dalam mengembalikan semula keharmonian di dalam parti Islam itu.
Itu perkara asas yang perlu diperbaiki terlebih dahulu sebelum ke arah memulihkan hubungan di dalam PN.
Bukan lagi menjadi rahsia umum antara faktor penolakan terhadap Mohd. Shukri sebelum ini dikatakan berpunca kegagalan beliau membawa parti menguasai atau memandu kerajaan. Akhirnya mula tercetus pertembungan kem ‘kompleks DUN’ dan Pas Perlis yang semakin lama semakin membarah.
Isyarat awal penolakan diberikan apabila Mohd. Shukri tewas jawatan Yang Dipertua Pas kawasan Arau diikuti gagal menempatkan diri dalam barisan Ahli Jawatankuasa Pas pusat sebelum dilantik semula.
Seterusnya Mohd. Shukri gagal menempatkan diri dalam barisan badan perhubungan Pas negeri selain jawatan Pesuruhjaya Pas negeri dan Pengerusi PN Perlis yang disandang beliau sebelum ini digantikan dengan pemimpin lain.
Memulihkan semula keharmonian di dalam Pas dan perlahan-perlahan memperbaiki hubungan di dalam PN. Itu patut dilaksanakan segera selepas ini sebelum Pas dan Bersatu selaku sekutu di dalam PN memasuki gelanggang PRU16.
Silap langkah dan percaturan, tidak mustahil PN di Perlis bakal jadi kerajaan sepenggal. – UTUSAN






