PETALING JAYA: Surat peletakan jawatan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang yang tular di media sosial adalah palsu.
Perkara itu disahkan pegawai di Pejabat Ketua Pembangkang.
Terdahulu, tular dua surat menggunakan kepala surat Pejabat Ketua Pembangkang dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kononnya Hamzah meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang.
Kandungan surat itu memaklumkan pelepasan jawatan dibuat selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mengambil kira realiti serta keperluan politik semasa.
Surat itu turut mendakwa keputusan dibuat selepas pertimbangan menyeluruh, demi memastikan kesinambungan kepimpinan dan kestabilan PN bergerak selari dengan hala tuju baharu di bawah Pengerusi yang akan dilantik kelak.
Semalam, Muhyiddin mengesahkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.
Selain Muhyiddin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Turut bertindak serupa ialah Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker. – UTUSAN






