PAPAR: Dakwaan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee kononnya akan menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam masa terdekat masih bersifat spekulasi.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, terserah kepada Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu untuk berbuat demikian.
Namun katanya, parti tempatan Sabah harus bersikap lebih terbuka untuk menerima penyertaan mana-mana pemimpin dari negeri ini meskipun individu terbabit berada dalam parti nasional.
“Saya fikir pada peringkat sekarang ini, saya melihat itu spekulasi dan mungkin juga andaian sebab masih terlalu awal (untuk disimpulkan).
“Sebagai seorang ahli politik senior, saya tidak fikir Datuk Seri Ronald membuat keputusan dalam peringkat ini untuk ke mana-mana parti, bukan hanya GRS. Namun bagi saya itu hak beliau untuk menentukan hala tuju politik beliau,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pembukaan Burger King Benoni Drive Thru dan Penyerahan Sumbangan Bakul Makanan Sempena Sambutan Tahun Baru Cina di sini hari ini.
Beliau mengulas desas-desus bahawa Kiandee akan menyertai GRS ekoran pergolakan politik Bersatu yang menyaksikan beberapa wakil rakyat dipecat kerana didakwa melanggar peraturan parti.
Armizan secara peribadi berkata, bahawa pemimpin Sabah yang berhasrat untuk menyertai GRS perlu berpegang kepada teras perjuangan gabungan itu.
“Kita kena berbalik kepada empat teras perjuangan GRS. Bukan hanya Sabah First tapi Sabah Prosper, Sabah Forward dan Sabah United itu.
“Jadi kalau ada mana-mana pihak yang ingin menyertai GRS dan mana-mana parti komponen GRS, pendapat peribadi saya kita kena terbuka,” katanya. – UTUSAN






