PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mahu siasatan menyeluruh dan telus dakwaan pemberian RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi “menyelesaikan” isu rangkaian “mafia korporat”.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dakwaan oleh Victor Chin itu merupakan pelanggaran serius dan perlu disiasat segera kerana ia menimbulkan persoalan berkaitan tadbir urus korporat, penyalahgunaan pengaruh politik serta integriti institusi negara.
Lebih membimbangkan, kata beliau, wang berkenaan juga didakwa diberikan bagi mendapatkan campur tangan politik dalam urusan korporat.
“Justeru, PN menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh, bebas dan telus tanpa sebarang campur tangan bagi memastikan kebenaran ditegakkan.
“PN juga menggesa kerajaan, khususnya kepimpinan PKR, supaya memberikan penjelasan segera kepada rakyat serta bekerjasama penuh dalam siasatan yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, kegagalan menangani dakwaan tersebut secara terbuka dan berintegriti hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah serta salah guna kuasa.
Beliau berkata, identiti individu terlibat wajar ditentukan melalui proses siasatan yang sah bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi mana-mana pihak yang tidak bersalah.
“PN akan terus memantau perkembangan kes ini dan tidak akan teragak-agak membawanya ke Parlimen bagi memastikan prinsip akauntabiliti dan integriti dalam pentadbiran negara dipertahankan.
“Integriti bukan sekadar slogan, sebaliknya menuntut pembuktian melalui ketelusan serta akauntabiliti yang konsisten dan berani,” katanya. – UTUSAN






