PETALING JAYA: Pemuda UMNO menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada keluarga seorang remaja yang ditampar oleh seorang lelaki di Pasar Seni, meskipun insiden berkenaan telah pun disusuli dengan permohonan maaf.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata, tindakan menampar kanak-kanak adalah tindakan yang sangat bacul dan perlu diberikan pengajaran yang setimpal.
Beliau berkata, tindakan perlu diberikan bagi memberi pengajaran kepada individu tersebut dan juga pada orang lain bahawa kanak-kanak perlu dilindungi bukan disakiti walau apa sekalipun keadaan yang berlaku.
Bagaimanapun beliau menghormati keputusan ahli keluarga remaja berkenaan yang ingin memaafkan lelaki tersebut.
“Abang kepada adik yang ditampar itu telah buat kenyataan yang individu yang menampar adiknya telah meminta maaf. Saya menghormati keputusan ahli keluarga yang ingin memaafkan mamat tersebut.
“Tetapi jika mereka ingin mendapatkan nasihat peguam untuk tindakan yang sangat bangsat yg dilakukan keatas adiknya, barisan peguam Pemuda UMNO sedia untuk membantu secara percuma
“Jika keluarga adik tersebut ingin mendapatkan bantuan peguam, boleh hubungi saya terus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Akmal menggesa agar individu yang menampar seorang remaja lelaki 12 tahun itu segera dikesan dan diambil tindakan.
Beliau menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan serta melampau.
Akmal turut meluahkan kemarahan terhadap insiden berkenaan dan menggesa orang ramai membantu mengenal pasti suspek. – UTUSAN





