KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan seorang ahli perniagaan, Victor Chin, yang mendakwa seorang ahli Parlimen (MP) meminta wang tunai RM10 juta bagi menyelesaikan skandal mafia korporat.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, parti itu tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung dakwaan tersebut dan tiada perbincangan rasmi dilakukan di peringkat dalaman.
Menurutnya, PKR tidak akan melindungi sebarang salah laku sekiranya benar berlaku selari dengan pendirian tegas Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Setakat ini, kami tidak ada maklumat. Kalau ada siasatan, itu terpulang kepada pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui media selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini semalam.
Beliau berkata, PKR juga belum mengadakan mesyuarat khusus bagi membincangkan isu berkenaan dan hanya mengetahui dakwaan tersebut melalui laporan media.
“PKR tidak ada apa-apa untuk disembunyikan dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Kami terbuka untuk membantu dalam sebarang siasatan sekiranya diperlukan,” jelasnya. – UTUSAN






