PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa segera menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang ahli perniagaan, Victor Chin, yang didakwa memberi rasuah sebanyak RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, siasatan tidak seharusnya ditangguhkan dan perlu dilaksanakan segera tanpa menunggu sebarang kelulusan pihak lain.
“Jika SPRM sudah selesai berhari raya, dimohon untuk siasat Victor Chin kerana sudah mengaku memberi RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen PKR.
“Takkanlah nak tunggu kelulusan PMX pula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Victor mendakwa bahawa seorang Ahli Parlimen PKR telah meminta RM10 juta bagi menyelesaikan isu berkaitan mafia korporat, namun beliau hanya mampu menyediakan RM9.5 juta pada peringkat awal.
Dakwaan itu dikemukakan dalam dokumen setebal 40 muka surat.
Menurutnya, baki RM500,000 tidak pernah diserahkan kerana isu berkenaan tidak diselesaikan seperti dijanjikan. – UTUSAN






