JEMPOL: Pas Negeri Sembilan mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun segera mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan (DUN) bagi membahaskan situasi semasa politik serta isu perundangan di negeri ini.
Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Fairuz Mohd. Isa berkata, sidang tersebut penting bagi memastikan ketelusan, keadilan dan kestabilan pentadbiran negeri terus terpelihara.
Menurutnya, pembukaan sidang DUN akan memberi ruang kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk berbahas secara terbuka, matang dan demokratik berhubung perkembangan politik serta isu perundangan yang semakin membimbangkan rakyat.
“Persidangan dewan yang terbuka amat penting sebagai platform rasmi bagi meneliti kedudukan sebenar pentadbiran negeri.
“Selain mempertahankan keluhuran Perlembagaan serta memastikan setiap keputusan dibuat berasaskan undang-undang dan kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga ADUN Serting berkata, sebarang penangguhan perbahasan hanya akan menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri selain menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran.
“Semua pihak hendaklah menjunjung prinsip demokrasi, kedaulatan undang-undang dan mengutamakan kepentingan rakyat melebihi kepentingan politik sempit.
“Justeru, Menteri Besar perlu bertindak segera dengan penuh tanggungjawab demi memelihara kestabilan politik negeri dan menjunjung prinsip demokrasi berparlimen,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Persidangan Pertama Penggal Keempat DUN Negeri Sembilan Ke-15 ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak.
Yang Dipertua DUN, MK Ibrahim Abd Rahman berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kelancaran perjalanan persidangan selain mengambil kira situasi semasa di negeri ini. – UTUSAN






