PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada 17 Mei ini.
Konvensyen selama sehari bertemakan ‘Tekad Madani, Harapan Rakyat’ bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang.
Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, PH berkata, konvensyen itu menjadi platform memperkukuh kesepaduan kepimpinan dan organisasi, menyelaras gerak kerja politik serta memperincikan hala tuju gabungan dalam mendepani cabaran semasa negara.
“Sebagai teraju Kerajaan Madani, PH terus memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi negara, kestabilan politik serta keyakinan rakyat menjelang pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual hadir menyampaikan amanat khas kepada para perwakilan,” katanya hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil; Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari dan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan.
Menurut kenyataan itu, pimpinan utama PH akan turut hadir bagi memperkukuh kesatuan dan kesiapsiagaan menghadapi cabaran politik semasa.
Kali terakhir Konvensyen PH diadakan pada 2022.
“Penganjuran semula ini mencerminkan komitmen berterusan PH dalam memperkukuh organisasi, memperkasa agenda reformasi dan memastikan aspirasi Kerajaan Madani terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN






