ALOR SETAR: Dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat parti menyerahkan keputusan kepada kerajaan negeri berhubung kedudukan mereka sebagai Timbalan Speaker dan Exco Kedah.
ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis berkata, status beliau kini adalah sebagai wakil rakyat Bebas yang menyokong Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.
Katanya, beliau juga menyerahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengenai kedudukannya sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berikutan pelantikan itu dibuat pada Sidang DUN.
“Buat masa ini saya belum membuat keputusan untuk merayu atau tidak kerana perlu berbincang bersama rakan lain termasuk bersama Dzowahir Ab. Ghani (ADUN Suka Menanti).
“Cuma saya perlu jelaskan bahawa saya bukan pembangkang di DUN Kedah kerana masih menyokong PN, lain-lain keputusan saya serah kepada Menteri Besar,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Mengulas pemecatannya, Abdul Razak berkata, beliau tidak terkejut, sebaliknya sudah menjangkakan perkara itu setelah diberi surat tunjuk sebab menuntut penjelasan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan apabila menyokong Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
“Ini harga yang saya perlu bayar untuk perjuangan ini, tapi saya sedikit kesal apabila tidak dipanggil untuk memberi penjelasan dalam prosiding bersama Lembaga Disiplin Bersatu kerana saya hendak tahu siapa yang membuat aduan terhadap saya.
“Apapun saya reda dengan keputusan ini dan sedar surat tunjuk sebab yang diterima sebelum ini sekadar formaliti kerana tujuan sebenar mereka adalah mahu memecat saya,” katanya.
Dzowahir pula turut menyerahkan kedudukannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah kepada Muhammad Sanusi.
“Saya akan terus menjalankan amanah sebagai ADUN kepada rakyat. Kedudukan Exco saya serahkan kepada budi bicara Menteri Besar Kedah,” katanya.
Bekas Ketua Bersatu Bahagian Alor Setar itu berkata, beliau tidak bercadang untuk membuat rayuan setelah menerima surat pemecatan kira-kira pukul 5.30 petang semalam, walaupun proses itu dibenarkan.
“Kemungkinan saya dipecat kerana hadir ke perhimpunan Perjumpaan Reset. Bersatu ada hantar surat tunjuk sebab pada 29 April lalu dan saya sudah jawab, tak sangka selepas seminggu beri sebab saya dipecat Bersatu,” katanya.
Sementara itu, Sanusi ketika ditemui pemberita berkata, kerajaan negeri akan berbincang secara terperinci berhubung kedudukan Abdul Razak dan Dzowahir sebelum menentukan sebarang keputusan.
Menurut Sanusi, pihaknya tidak akan bertindak terburu-buru kerana setiap keputusan perlu mematuhi prosedur pentadbiran selain mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
“Buat masa ini kedua-dua wakil rakyat terbabit masih menjalankan tugas seperti biasa, sementara menunggu menghadap Sultan Kedah bagi mempersembahkan perkembangan semasa berkaitan isu tersebut,” katanya. – UTUSAN






