SEREMBAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan mengambil pendirian tunggu dan lihat termasuk soal penggunaan lambang dan jumlah kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ketua Penerangannya, Mohd. Nazree Mohd. Yunus berkata, parti itu di peringkat negeri bagaimanapun bersedia untuk apa juga kemungkinan dan hanya menunggu keputusan akhir yang dimuktamadkan oleh kepemimpinan tertinggi parti.
“Ia termasuk berkenaan kerusi ataupun logo, bagi kami akhirnya mesti bersepakat dengan keputusan dan pendirian yang diambil kepimpinan Bersatu Pusat.
“Kami akan menunggu arahan lanjut daripada Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) khususnya berkaitan kempen dan persiapan di kawasan-kawasan yang akan diputuskan kelak.
“Setakat ini menjadi kefahaman kami adalah Bersatu masih di dalam Perikatan Nasional (PN). Pendekatan ketika ini adalah untuk menunggu hasil perbincangan dan mesyuarat akhir di peringkat kepemimpinan. Kami harus berpandukan keputusan akhir kepemimpinan Bersatu khususnya Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya ketika dihubungi Nexbyte di sini semalam.
Akhbar ini semalam melaporkan, logo dan bendera PN munkin tidak kelihatan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan sekiranya Bersatu memohon injunksi di mahkamah.
Bersatu yang kini berdepan krisis keahlian dalam PN boleh memohon injunksi untuk menghalang mana-mana pihak termasuk Pas daripada menggunakan nama dan logo gabungan itu dalam pilihan raya.
Mengulas mengenai perkara itu, Mohd. Nazree berkata, peringkat kepemimpinan Bersatu sudah tentu lebih mengetahui apa juga keputusan yang terbaik buat parti.
“Orang boleh kata dan beri pandangan pelbagai namun kami di Negeri Sembilan akan akur dan bersedia dengan apa juga pendekatan diambil di peringkat kepemimpinan ibu pejabat,” katanya lagi.
Sementara itu katanya, Bersatu setakat ini memberi tumpuan untuk meletakkan calon di 15 hingga 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) khususya yang pernah ditandingi semasa PRN yang lepas.
“Namun ia bergantung dengan perkembangan semasa dalam PN kerana kami masih ada rakan-rakan parti komponen dalam PN, perkara itu jelas dan ruang perbincangan masih ada. Bersatu ada prosesnya, apa pun kami akan berbincang di peringkat BPN, bawa ke Majlis Pimpinan Tertinggi dan akhirnya juga kepada presiden,” katanya. – UTUSAN






