PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) berdepan risiko kehilangan kerusi Parlimen Pandan sekiranya pencalonan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di kawasan berkenaan gagal mendapat penerimaan pengundi, khususnya dalam kalangan penyokong yang masih terikat dengan kesetiaan penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, situasi di Pandan meletakkan kedua-dua pihak dalam posisi berisiko tinggi dengan implikasi politik yang berbeza.
Menurut beliau, PKR berdepan risiko lebih besar sekiranya gagal mempertahankan kerusi tersebut dengan faktor Rafizi yang dianggap sebagai simbol penting parti di kawasan berkenaan.
“Bagi PKR, risiko utamanya ialah kehilangan simbol. Rafizi bukan sekadar penyandang, tetapi figura reformis, strategis parti dan wajah politik bandar. Jika beliau berdepan PKR di Pandan, ia boleh mencipta dilema emosi kepada pengundi lama PKR.
“Tengku Zafrul lebih berisiko secara peribadi, kerana jika kalah di Pandan, ia akan menjejaskan naratif bahawa beliau mampu menjadi aset elektoral baharu PKR.
“Bagaimanapun, PKR lebih berisiko secara institusi jika gagal mempertahankan Pandan, kerana kekalahan di kubu sendiri akan dibaca sebagai kesan langsung kehilangan Rafizi,” katanya kepada Nexbyte.
Semalam akhbar ini melaporkan, Rafizi Ramli dilihat bukan sekadar saingan politik biasa, sebaliknya menjadi cabaran buat Tengku Zafrul yang muncul sebagai underdog jika bertanding di kawasan tersebut.
Tengku Zafrul turut berkata, walaupun ada pihak melihat pertembungan Tengku Zafrul dengan Rafizi sebagai berisiko tinggi, namun beliau menyerahkan sepenuhnya kepada keputusan kepada pucuk pimpinan parti.
Tambah Awang Azman, Tengku Zafrul masih mempunyai ruang untuk menang di kerusi berkenaan sekiranya tiga keadaan utama berlaku.
“Pertama, PKR dan Pakatan Harapan kekal memberikan sokongan padu kepadanya. Kedua, pengundi Pandan lebih mengutamakan kestabilan kerajaan berbanding sentimen protes terhadap parti dan ketiga, Rafizi gagal memperluaskan sokongan di luar penyokong peribadinya,” katanya.
Awang Azman berkata, meskipun Zafrul boleh bertanding di kerusi tersebut, beliau tetap bermula sebagai ‘underdog’ dan perlu bekerja keras untuk meraih keyakinan pengundi.
Menurutnya, kemenangan hanya boleh dicapai sekiranya pertandingan itu tidak dilihat sebagai referendum terhadap Rafizi semata-mata, sebaliknya sebagai pilihan terhadap masa depan Pandan bersama kerajaan pusat.
“Jika naratif pertandingan kekal sebagai ‘Rafizi lawan calon pengganti’, maka Zafrul akan berdepan laluan yang sangat sukar untuk menang,” katanya. – UTUSAN






