PENGEMBARA mahu pun penumpang kereta api yang turun di Stesen Komuter Seksyen 19 Shah Alam, Selangor tidak perlu kelam-kabut balik ke rumah pada bulan Ramadan ini menjelang waktu berbuka puasa keraan Platform 19 menawaarkan apa yang diperlukan untuk berbuka buka puasa.
Ini disebabkan Restoran Platform 19 yang berkonsep stesen hentian kereta api, bersedia menyediakan makanan Pakistan yang diubah secukup rasa sesuai dengan selera rakyat negara ini.
Menurut pemilik bersama Platform 19, Chef Johari Edrus yang dikenali dengan panggilan Chef Jo, untuk bulan puasa yang mulia ini, restoran yang baru dibuka itu menampilkan juadah berat seperti nasi beriani dan roti nan yang ditampilkan bersama ayam dara atau daging biri-biri.
“Sempena Ramadan kita ada tiga pakej untuk tiga atau empat orang dengan harga daripada RM118 hingga RM145.

“Untuk pakej ‘Islamabad Whole Spring Chicken’ bernilai RM118, juadah utama adalah nasi beriani dan roti nan yang dimakan bersama kari keema, raita dan ‘yogurt mint’ di samping hidangan iringan.
“Bagi pakej RM118 sajian Dome Kabsah pula adalah ayam dan nasi beriani untuk tiga atau empat orang. Untuk menikmati ‘Dome Kabsah Lamb’ pelanggan hanya perlu menambah RM20 bagi pakej itu bersama hidangan lain,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Tambah chef Jo, pakej ‘Hyderabad Platter’ berharga RM145 untuk tiga hingga empat orang, menyajikan nasi beriani roti nan dan lauk ayam dara dimakan bersama malai botti, ‘chicken tikka’ dan seekh kabab.
Katanya lagi, ketiga-tiga pakej berkenaan dijenamakan sebagai Ramadan Kareem Exclusive.
Menu Iftar Chef Jo ini, turut menyajikan bersama kuih samosa, kuih-muih Melayu seperti seri muka, onde-onde dan kuih lapis, minuman air mango lassi atau soda hijau, kurma medjool dan puchka pani puri iaitu kuih berongga mengandungi kacang ayam, kentang serta bawang.
Chef Jo yang popular sebagai Ketua Juri Masterchef Malaysia yang disiarkan di sebuah TV swasta berkata, Platform 19 terletak di lokasi strategik pengangkutan awam yang memudahkan pelanggan untuk datang dengan bas percuma Selangorku.
“Selain pelanggan sekitar bandar raya ini, pelancong luar dari Jepun turut singgah ke Platform 19 yang disifatkan mereka sebagai destinasi yang wajib dituju.
“Kebiasaannya pelancong dari Jepun akan meletakkan sesuatu destinasi yang menarik di sesuatu negara menerusi hantaran media sosial mereka untuk dirujuk oleh pelancong senegara, dan Platform 19 berada dalam senarai destinasi tersebut,” katanya.

PLATFORM 19
Lokasi: Jalan Parang 19/8, Seksyen 19, 40300 Shah Alam, Selangor
Waktu operasi: Pukul 8 pagi hingga 10 malam
setiap hari
Makanan istimewa: Nasi Bariani, Dome Kabsah Lamb, Spaghetti Buttermilk
dan Chai.
Mengenai hidangan ala carte di situ, selain sajian di dalam pakej Ramadan tersebut, terdapat juga makanan Barat untuk pilihan.
Makanan Barat seperti lasagna, sup, roti dan roti nan ala pizza disesuaikan mengikut cita rasa tempatan.
“Jika ada yang hendak makan dan minum makanan Barat kita bersedia menyajikan menu yang sesuai termasuk minuman kopi latte, cappucino selain teh masala istimewa yang kami namakan chai,” jelasnya.
Sesuai dengan kualiti makanan dan bahan premium yang mengandungi saffron dan rempah yang diimport beliau berkata, Platform 19 menyajikan hidangan dan kualiti hasil pengalaman beliau sebagai chef yang berkhidmat bertahun-tahun di Switzerland dan di Malaysia sendiri.
Orang ramai yang ingin merasa menu Chef Jo untuk berbuka puasa boleh membuat tempahan di talian 012-7019192. – UTUSAN






