IBARAT angin tak tertangkap dan asap tak tergenggam, berita membabitkan individu yang terkenal sebagai da’i Syed ini, memang mengejutkan dan tak mampu disorok. Ini apabila dirinya didakwa di mahkamah pada akhir tahun lalu, atas pelbagai pertuduhan.
Menyifatkan pengalaman itu sebagai ujian yang sarat pengajaran, pemilik nama Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, 26 ini memilih untuk tampil berkongsi dengan Mingguan Malaysia, secebis kisah ketika meringkuk dalam lokap dan penjara ‘transit’.
Wawancara ini tidak mengulas langsung mengenai semua tuduhan terhadapnya dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Keputusan penghakiman akan menentukan kelak.
“Duduk dalam lokap, ada seorang tahanan kejut saya solat Subuh. Macam mafia, di badannya penuh tatu. Waktu itu saya terpinga-pinga. Selepas itu saya tanya, kamu kes apa? Dia jawab, kes culik dan bunuh. Saya memang terkejut,” katanya,
Ikuti temu bual ini, yang disertai wartawan Roshihan Annuar Yub, Aida Rizmariza Kamaruddin serta Fahmi Faiz. Ia turut dibantu juruvideo Mohd. Fikri Padil @ Fadzil serta jurugambar Muhammad Shiddieqiin Zon.
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana keadaan sekarang daripada segi emosi?
SYED SHAH IQMAL: Terima kasih Mingguan Malaysia sebab menjemput saya. Untuk menjawab soalan mengenai emosi, sudah tentu saya adalah manusia yang bukan dicipta sebagai malaikat atau syaitan. Mesti ada emosi, kesedihan dan sebagainya. Kalau nak ikutkan, sudah tentu saya rasa tertekan, sedih sampai saya pernah tanya orang di dalam itu, kalau saya keluar, ada tak orang akan terima saya? Kalau saya cakap lepas ini, adakah jadi macam air tawar kosong sahaja?
Maksudnya?
Sebab sebelum ini, bila kita bagi ceramah misalnya, orang panggil di universiti. Takut bila kita dah keluar (penjara), cakap apa pun tak jadi apa-apa. Saya tanya dekat orang dalam itu, mereka nasihatkan saya.
Siapa yang dimaksudkan dengan ‘orang dalam’ itu?
Anggota yang jaga lokap, ada juga banduan, kadang-kadang saya tak tahu hendak sembang dengan siapa, akhirnya sembang dengan banduan dalam itulah. Ada juga yang kes samun, kes culik, kita dengar luahan-luahan mereka. Pada masa sama mereka juga dengar luahan saya. Yang saya ingat mereka cakap hari ini kita hidup kalau tak ditimpa ujian, pasti Allah tak beri perhatian kepada kita. Sebab ujian itu adalah perhatian Allah kepada kita. Maka orang yang tak pernah diuji, bermaksud perhatian Allah itu kurang kepadanya. Jadi saya pegang kata-kata itu, maka ujian ini saya anggap sebagai perhatian daripada Allah.
Maksud Syed ada kekuatan dalaman?
Bila kita bercakap tentang tekanan jiwa, ia khusus kepada spiritual. Ia bukan tentang fizikal, tapi tentang dalaman. Kalau dalaman tidak kuat, sudah tentu saya hantuk kepala ke dinding.
Boleh ulas lanjut?
Maksudnya lebih baik saya pecah kepala dan mati. Tapi bunuh diri tak selesaikan masalah. Berdosa. Tapi apapun, bila hari pertama saya ‘duduk dalam’, memang saya sedih.
BERAPA LAMA DITAHAN?
Berapa lama tempoh Syed di dalam?
Total semua 23 hari. Tapi yang rasmi 20 harilah. Sebab kita masuk awal, proses reman dan sebagainya, maka semuanya 23 hari. Hari pertama itu, memang saya rasa sedih. Sebab berlaku terlalu pantas, sekejap sangat. Nama saya naik dan orang benci saya, sampai saya tertanya-tanya ada lagikah orang yang sukakan saya?
‘HUKUMAN’ WARGANET
Ramai netizen menjatuhkan ‘hukuman awal’ dalam laman sosial. Komen?
Saya malas ambil tahu. Orang hendak cakap apa pasal saya, cakaplah. Tapi apa yang penting saya sentiasa memaafkan mereka. Tiada dendam dalam diri saya.
KEKUATAN ATAU LAKONAN?
Adakah ketenangan yang ditunjukkan waktu itu satu lakonan semata?
Kalau nak cerita pasal kekuatan, tiada siapa waktu itu boleh beri kekuatan kepada saya. Bila tiada sesiapa, saya banyak meluahkan jiwa dan nurani kepada Allah. Kalau saya ada buat salah, saya minta maaf kepada-Nya. Doa saya hari-hari, Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah kekuatan kepadaku untuk menjalani segala ujian-Mu. Setiap hari saya berdoa, dan hendak menghadapi media ketika itu, kalau ikutkan memang lembiklah lutut ini. Tapi saya minta kekuatan daripada-Nya, dan Allah beri saya kekuatan dalam keadaan tersenyum.
Maksudnya ia bukan lakonan?
Bukan saya buat-buat, tapi memang benda itu ada. Malah lepas saya keluar dari kereta waktu itu, saya cakap terima kasih semua kerana ambil tahu pasal saya. Saya menghargai orang yang ambil tahu pasal saya.
REAKSI SI IBU
Apa reaksi ibu Syed ketika itu?
Saya kalau cakap bab emak, saya memang akan sedih. Antara detik yang tak boleh saya lupa, ketika saya kena tahan. emak menyaksikan, dia tengok apa yang berlaku. Macam awak cakap, orang kecam saya macam-macam, saya okay sahaja. Tapi bila tengok emak saya lihat anak dia kena hamun dan sebagainya, saya pula kasihan dan sedih tengok emak dalam keadaan pilu macam itu.
Boleh ulas pengalaman itu?
Ada satu waktu itu, hari kelapan saya di dalam, emak datang ziarah. Itu detik yang tak boleh lupa. Hari itu saya pakai baju hijau, yang kurta tu. Emak bawa makanan. Saya rasa bersalah, saya peluk dan saya cakap minta maaf mama. Saya tak tahu apa yang berlaku di luar, apa yang orang cakap, apa yang orang tohmah saya, emak saya yang lalui waktu itu. Jadi saya peluk emak, saya cakap “minta maaf mama, sebab Iqmal banyak susahkan hidup mama.” Emak peluk saya, dia kata tak mengapa, Iqmal tak salah.”
MUKA ‘JAMBU’
Apa perasaan Syed sewaktu ditahan?
Saya takut, sebab mana pernah masuk ke dalam. Lokap itu pun macam-macam orang saya jumpa. Sama juga bila masuk dalam kem tahanan penjara sementara itu, saya takut saya naik dalam trak dan turun, ada ratusan banduan di bawah.
Apa reaksi mereka nampak Syed?
Mereka tengok saya, ada yang lain macam, ya lah kita muka macam jambu sikit kan (tertawa). Saya fikir, aduh macam mana lepas ini? Saya memang takut, seram sejuk, tambah pula kena gari rantai dan sebagainya. Namun dalam keadaan macam itu, alhamdulillah saya masuk dan dijaga oleh Allah.
Tiada kena apa-apa?
Tiada, bahkan saya boleh solat jemaah Maghrib setiap hari, begitu juga waktu Subuh, Zuhur. Saya turut buat tazkirah lepas Maghrib sebelum makan disertai banduan lain. Orang di situ, yang jaga di situ kenal saya. Da’i Syed, kata mereka tiap kali bersapa. Tapi saya cakap pada mereka yang saya ini tiada apa-apa, buktinya baju kita sama. Saya baju ungu, abang pun baju ungu, kata saya. Saya diamanahkan oleh anggota dalam itu untuk beri tazkirah, bercerita kisah nabi, malah turut mendengar luahan mereka.
Luahan yang macam mana?
Ada yang kena tangkap sampai dua tahun, tapi keluarga tak tahu. Maka saya banyak mendengar dan ambil tahu kisah mereka. Itu antara perkara yang orang kata pahit tapi ada manisnya sedikit.
BUNGA YANG MEKAR
Apa membuatkan kuat hadapi ujian besar ini?
Saya tak tahu macam mana hendak cakap, tapi bila ujian ini datang, saya selalu bandingkan dengan sirah-sirah. Saya tak tahu nak buat apa di dalam, saya akan ingat semula sirah Nabi Muhammad, Nabi Ibrahim dan para nabi lain. Benda itu yang menguatkan saya sebenarnya.
Janji kepada penyokong?
Kalau ada orang yang sokong saya, saya tak mampu hendak janjikan apa-apa. Tapi boleh saya ibaratkan, bila kita seperti air hujan yang jatuh dari langit ke bawah, biarpun sakit air hujan itu, tapi jangan lupa ia juga menghasilkan tumbuhan yang mekar. Jadi bila kita jatuh itu, saya yakin jatuh bukan sebarang jatuh tapi akan hasilkan tumbuhan yang mekar.
POPULARITI SATU SUMPAHAN?
Ada anggap Syed penunggang agama?
Saya tak pernah menggunakan agama. Kalau orang tengok saya pun, saya tetap macam ini saja. Saya berkongsi apa yang saya tahu. Kita kena sentiasa memberi manfaat kepada orang. Kena beritahu kepada orang tentang risalah Nabi, risalah Allah.
Ada orang cakap, nama sahaja da’i, buanglah gelaran da’i itu. Sebenarnya da’i ini hanya gelaran bagi pendakwah, tapi hakikatnya semua orang adalah pendakwah. Semua orang kena menyampaikan kebaikan kepada lain. Tak bermaksud ada gelaran da’i barulah nak menyampaikan.
Adakah populariti ini satu sumpahan?
Dalam surah Al-Baqarah, ayat 286 bermaksud: “Allah tidak akan membebankan seseorang hamba itu melainkan dengan apa yang terdaya olehnya.” Nak popular, macam-macam cara boleh popular. Tapi dah Allah letakkan saya di kedudukan macam itu, ujian itu, dan saya rasa ujian itu bukanlah bala, tapi ada hikmah. Jadi kalau hendak banding populariti sebagai sumpahan, bagi saya ia bukan sumpahan tapi ujian untuk menaikkan darjat.
HUBUNGAN DENGAN AYAH
Apa hikmah terbesar yang dipelajari?
Saya belajar bersabar. Bersabar makan, bersabar macam-macam termasuk persoalan bila boleh keluar. Saya fikir saya kena lima hari. “Oh esok boleh keluar”, rupanya tetap tak boleh keluar lagi, malah tambah lima hari. Kemudian dah yakin kononnya boleh keluar lepas itu, rupanya tambah tempoh tahanan, sampailah saya masuk penjara. Sepanjang proses itu, saya banyak bersabar. Baru sedar, sabar ini sebenarnya sangat susah.
Ada hikmah lain?
Hikmah terbesar juga apabila saya dapat berbaik dengan ayah. Alhamdulillah kami berbaik, kami bercakap dan dia nasihatkan saya. Ya memang membawa perbezaan dalam hubungan kami, lebih akrab.
Ayah buat panggilan video kepada saya, saya terpinga-pinga. Dengan baju biru saya, dengan bau dah macam kambing, abang saya hulur telefon. Jadi saya dapat bercakap dengan dia, saya minta maaf apa yang berlaku.
GANGSTER KEJUT SOLAT
Antara ujian yang paling tersemat?
Ada yang cakap, habislah kepala lepas ini botak, itu saya baca dalam komen media sosial. Tapi Allah jaga rambut saya. Saya kena pukul dalam penjara? Tidak. Semua banduan sayangkan saya. Bila saya keluar mereka jerit “Syed, Syed” Dalam itu macam-macam kes ada, saya takut, tapi semua sayang saya. Sampai ada ketika, saya tak dapat makan. Sebab waktu itu kami lambat makan, ada seorang banduan cakap, beri Syed makan.
Ada banduan yang minta nasihat?
Ada. Mereka banyak tanya tentang hukum-hakam. Contohnya ada seorang banduan ini, dia tak jumpa isteri lebih setahun. Dia minta pandangan, adakah dia jatuh talak? Bolehlah dirumuskan saya menjadi rujukan ketika itu.
Bagaimana pengalaman dalam lokap?
Ada juga saya duduk dengan satu kumpulan bukan Muslim. Duduk dalam lokap, dia kejut saya solat Subuh. Dia mafia tau, kita ni apa benda, terpinga-pinga waktu itu. Selepas itu saya tanya, kamu kes apa? Dia jawab, kes culik dan samun. Saya memang terkejutlah. Namun bayangkan, dia kejut saya solat Subuh. Kamu jangan lupa Tuhan, pesan dia. Saya berdoa lepas solat, dia tanya kamu doa sama sayakah? Ya, saya doa sama kamu, saya jawab.
Mereka berapa ramai?
Ada enam orang dalam lokap. Ruang kecil, jadi bila saya solat ada seorang itu cakap pada rakan lain, bangun dan bagi dia solat. Kemudian semua mereka bangun dan tunggu saya solat.
Saya tak pernah menangis waktu nak berpisah dengan mereka, tapi waktu itu saya peluk orang bukan Islam, saya peluk dan menangis. Kemudian dia pesan, balik nanti kamu makan sama emak kamu. Lima hari pengalaman itu, mereka yang banyak mendengar luahan saya. – Mingguan Malaysia.





