Apa tidaknya, sejurus PH tumbang, kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditadbir bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diasak segenap penjuru sehingga ‘tenggelam’ pada 3 Ogos 2021 apabila beberapa ahli UMNO tarik sokongan.
Soalnya, dalam konteks hari ini, bagaimana Kabinet baharu mampu menggalas tugas memulihkan dua perkara itu, iaitu usaha membasmi Covid-19 termasuk untuk keluar dari fasa pandemik ke fasa endemik dan menstabilkan politik negara? Sebagai individu yang diarahkan mengepalai Jawatankuasa Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) beliau berpandangan hanya dengan kerjasama dan bantu membantu sahaja mampu beralih ke fasa endemik.
Ikuti wawancara Mingguan Malaysia bersama Menteri Dalam Negeri, DATUK SERI HAMZAH ZAINUDIN bersama wartawan Mingguan Malaysia FAHMI FAIZ. Turut membantu jurugambar AHMAD FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR dan juruvideo ZUID IKH RAL SAMSON.
HAMZAH ZAINUDIN: Pada saya yang penting hari ini ialah usaha untuk menangani pandemik Covid-19. Macam mana? Pelbagai cara kita pernah laksanakan. Kita pernah buat total lockdown, kemudian kita pernah melaksanakan segala macam perintah kawalan, dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB), PKP Diperketat (PKPD) dan sebagainya, macam-macam. Semua itu kita lakukan dengan mengatur SOP mengikut keadaan. Apabila kita buat perkara-perkara itu, kita hanya nampak bahawa di hadapan kita ada virus yang terpaksa kita lawan. Itu sahaja. Sebab itu daripada awal kita kata, ini merupakan satu pandemik. Soalnya, adakah kita mahu hidup bersamanya? Jika kita mahu hidup dengan keadaan sebegitu, kita tak boleh kata ini adalah wabak, kita perlu tukar kepada endemik.Maksudnya?
Kalau betul kita nak tukar menjadi endemik, apakah kita sudah bersedia? Ini soalan-soalan yang patut kita tanyakan kepada semua. Kita tak boleh hanya bertanya kepada saya sebagai Menteri, kita boleh juga tanya kepada Ketua Pengarah Kesihatan, kita juga boleh tanyakan kepada ramai mereka di luar sana, sama ada pengusaha, pekerja yang mana semua ini harus diambil kira. Sebab apabila kita nak ambil kira isu itu, barulah kita dapat menyusun strategi di antara membantu rakyat dari aspek kesihatan, dan membantu rakyat untuk mendapat pendapatan.
Kenapa?
Kerana daripada putih, ia boleh bertukar kepada hitam. Tapi perjalanan dari putih ke hitam, ia akan ada kesamaran (grey area). Ini sepatutnya semua pihak harus faham, bahawa kesamaran inilah yang sepatutnya kita sama-sama cari jalan untuk membantu transisi hitam ke putih itu tadi. Ini menjadi satu usaha yang memerlukan tanggungjawab semua orang. Kita tidak boleh hanya berkata, “ia hitam, maka kerajaan terbukti gagal”.
Usaha membasmi pandemik ini bukan tanggungjawab rakyat semata-mata, tapi tanggungjawab semua orang. Kerana kesamaran inilah yang menjadi tanggungjawab semua orang. Saya diarahkan mengepalai Jawatankuasa Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP). Apakah orang yang melanggar SOP itu, punca kesalahannya akibat dari jawatankuasa tersebut? Kalau kita lihat, di situlah sebenarnya kesamaran itu. Tapi hari ini? Semua kerajaan yang salah, alasannya kerajaan tak boleh mengawal rakyat untuk mematuhi SOP.
Boleh bagi contoh?
Saya berikan satu contoh, ada seseorang pandu kereta tanpa memakai pelitup muka. Sebelum sampai ke sekatan jalan raya, dia pun cari pelitup dan pakai. Selepas sekatan itu, sama ada dia pakai atau tidak pelitup muka, itu salah siapa? Salah kerajaanlah. Kenapa? Sebab tak ikut kereta itu. Inilah analogi grey area yang saya cuba jelaskan. Inilah pengertian sebenar kerjasama. Kalau semua bekerjasama, selepas sekatan jalan raya itu, pemandu itu tadi akan tetap patuh pada SOP. Kalau tidak semua pun, majoriti akan ikut. Itu pertama.
Kedua, kita letih, semua duduk di rumah, SOP arahkan agar tak keluar, segala macam sekatan, sehingga rakyat rasa letih dan lesu. Hakikatnya, semua golongan merupakan rakyat dalam negara ini. Jadi, semua orang ada keluarga. Saya ada keluarga, saya ada ibu, ada adik beradik, tapi oleh kerana SOP, saya tak boleh jumpa mereka. Apakah kerana tak boleh berjumpa ini, mahu salahkan kerajaan kerana menguatkuasakan SOP? Itu juga menjadi sesuatu yang menimbulkan masalah.
Kemudian, sekarang kita kena percepatkan program vaksinasi supaya kita dapat capai imuniti kelompok. Kenapa? Kerana ia sudah terbukti. Contohnya, di Labuan kita perkasakan program vaksinasi, akhirnya kita berjaya turunkan angka pesakit di unit rawatan rapi. Inilah kisah kejayaan. Jadi salah siapa? Oh tiada salah sesiapa, sebab rakyat dah mematuhinya. Ada sesiapa nak kata “oh itu kejayaan yang dibuat oleh kerajaan untuk memastikan semua dapat vaksin”? Tiada.
Segelintir pihak meletakkan tanda aras, sepatutnya kita landaikan kes sehingga sifar, sebab kejayaan kita dulu apabila kita berjaya melandaikan, tapi sekarang ini kes lebih 20,000. Tapi pernahkah kita terfikir, sepatutnya hari ini mungkin boleh mencecah 50,000? Sebab pandemik ini tak pernah berlaku.
Boleh ulas kenyataan bahawa kerajaan tidak boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk jaga prosedur operasi standard (SOP). Adakah bermaksud, selepas ini kalau rakyat tak jaga SOP, kerajaan tak akan saman lagi?
Oh, itu tidak betul, bukan macam itu. Bila kita ada SOP, yang melanggar SOP tetap kena saman. Kita ada 114,932 anggota polis, sedangkan rakyat ada 32 juta. Kalau dinisbahkan, memang nisbahnya sangat kecil antara anggota dengan rakyat keseluruhan.
Jadi, pokoknya semua pihak dari atas sampai ke bawah harus memurnikan budaya bantu-membantu, faham-memahami dan memainkan peranan masing-masing. Kita harus ada SOP ini, tapi secara asasnya, biarlah ia bergabung secara harmoni dengan semangat diri sendiri untuk ada pematuhan kendiri.
Ada analogi untuk menjelaskan perkara ini?
Daripada kecil, kita orang Islam diajar solat. Dulu kita diajar solat, sehari lima waktu. Masa kecil-kecil, ada orang yang buat operasi pematuhan, siapa mereka itu? Ibu bapa kita. Merekalah yang jadi ‘polis’ ketika itu. Kemudian sampai satu masa, ibu dan ayah dah tak tanya lagi, sebab sama ada kita patuh atau tidak dengan kewajiban solat itu, ibu bapa pun tak tahu dah.
Jadi, itulah analogi pematuhan kendiri yang saya maksudkan. SOP mewajibkan solat itu masih lagi ada, tapi kalau masing-masing tak tunaikan solat bila dah dewasa, tak akan mahu salahkan ibu bapa lagi? Ini tak terhad kepada Muslim sahaja, bahkan penganut agama lain juga, masing-masing ada SOP yang mana menjurus ke arah kebaikan belaka. Tapi bila dewasa, sama ada ikut dan patuh atau tidak, ada pematuhan kendiri atau tidak, itu soal lain.
PN WAJAH SEBUAH KELUARGA MALAYSIA
Sejauh mana Perikatan Nasional (PN) mencerminkan solidariti Melayu-Islam dalam mempertahankan pemerintahan negara?
Saya tak bersetuju dengan soalan itu. Sebab PN ini, pendekatan yang kita ambil bukan hanya dari sudut Melayu-Islam. Ia kita lakukan dari sudut penyatuan semua kaum yang mengikut demografi dalam negara kita ini. Yang mana kita berikan tumpuan, misalnya jika Melayu-bumiputera-Islam itu besar mungkin merangkumi 70 peratus populasi, maka fokus PN juga memberikan tumpuan seperti itu. Namun pada masa sama, membantu semua kaum-kaum lain. Jadi saya rasa, ia bukan-semata hanya melihat dalam kerangka Melayu-Islam
Boleh ulas lanjut?
Kita kena menerima hakikat bahawa kita adalah sebuah negara berbilang kaum. Kita ini unik yang mana kita sangat berwarna-warni. Konsep inilah yang sebenarnya memberikan kita harapan yang lebih baik, kalau kita dapat bergabung. Kerana, ini bukan sahaja satu negara pelbagai bangsa dan pelbagai agama, malah juga kepelbagaian budaya. Maka sebab itu pada saya, konsep yang PN mahu bawakan adalah konsep yang mana kalau hari ini Perdana Menteri kita menyebut Keluarga Malaysia, ia bermula daripada konsep PN yang melambangkan semua kaum.
Ada pandangan kestabilan politik di Malaysia ini haruslah bermula dengan menguatkan kumpulan majoriti iaitu Melayu-Islam, komen Datuk Seri?
Itu ada kebenarannya, sebab itu saya kata tadi fokus kita kepada demografi. Saya tidak nafikan, sebab itu fokusnya kepada kumpulan mengikut demografi dalam negara kita, di samping tidak lupa kepada kaum-kaum lain. Jadi untuk mencapai ke tahap itu, maka yang besar mesti bersatu supaya tak diperkecilkan.
Sementara itu, yang kecil juga harus bersama dengan yang besar supaya manfaat penyatuan mereka dalam menjadi satu kumpulan besar, berbanding hanya tinggal dalam kumpulan kecil. Itu konsep yang sepatutnya diterima pakai oleh semua. Jadi kalau itu boleh dibuat, dan semuanya benar-benar melihat bahawa tujuan dan matlamatnya untuk masa depan negara yang lebih baik, saya rasa semua orang patut menerima konsep PN ini.
Cuba kita lihat hari ini kerajaan yang ada, UMNO ada dalam itu? Ada. Bersatu ada? Pas ada? Parti-parti lain ada? Semua ada. Jadi apakah pertembungan itu di antara UMNO dengan Bersatu, atau pun antara pemimpin UMNO dengan pemimpin Bersatu? Kita tak boleh salahkan parti atas perkara ini.Jadi apa harapan Datuk Seri terhadap gabungan ini?
Saya sebagai Setiausaha Agung Bersatu mahu melihat semua pemimpin bertanggungjawab untuk masa depan rakyat yang lebih baik, daripada hanya memikirkan tanggungjawab satu kumpulan tertentu semata-mata. Kalau semua pemimpin dapat bergabung, insya-Allah saya yakin negara tercinta kita ini akan mencapai kejayaan gemilang.
Kenapa pemimpin dahulu berjaya gam (glue) semua kaum berbilang bangsa untuk mencapai keharmonian, tapi sekarang kelihatan cukup sukar?
Apakah salahnya salah parti, ataupun pemimpin dahulu itu, mereka bertanggungjawab untuk mencipta sejenis gam yang menyatukan rakyat berbilang bangsa. Tapi hari ini, masing-masing bukan seperti itu, sebaliknya cuma cari jalan untuk letak bahan kimia, agar gam itu makin lama makin terhakis. Jadi kita kena cari seseorang yang benar-benar boleh menyatukan semula.
RENTAS PARTI
Perlukah politik rentas parti kerajaan-pembangkang?
Kita mahu mengadunkan negara kita ini mengikut acuan kita sendiri. Kalau kita ikutkan dari segi contoh di banyak negara luar, ia berbeza antara satu negara dengan negara yang lain. Soalnya, bagaimana kita mahu mengadunkan lanskap politik negara ini mengikut acuan selera kita sendiri? Misalnya, kita kata selepas ini, sesiapa saja memerintah, jangan lupa tanggungjawab mereka untuk menarik penyertaan dan pembabitan kumpulan yang kalah iaitu pembangkang.
Apa rasional sebalik langkah ini?
Kenapa? Sebab Parlimen sepatutnya kita fikirkan tanggungjawab untuk mengharmonikan lanskap politik dan pembangunan negara. Duduk sama-sama berbincang itu dan ini, antara kerajaan dengan pembangkang, maka kita akan bertambah matang dari segi politik. Kemudian tiap-tiap lima tahun kita gaduhlah semula sewaktu pilihan raya (tertawa). Turun ke bawah, orang politik ini yang turun ke bawah, jumpa rakyat sebagainya, akan kekalkan posisi sebagai wakil rakyat dan rakyat kata, “oh bagus dia ini”.
Kemudian bila sampai ke Parlimen, dia akan fikirkan tanggungjawab untuk negara, orang akan kata “bagus dia ini”. Seterusnya, bila sampai lima tahun, dia akan berkata, “saya tak boleh bersama dengan kamu, tapi saya mahu menyertai parti lagi satu sebab kamu tahu kenapa? Poster boy kamu yang akan menentukan masa depan negara dipimpin oleh A, sementara kumpulan lagi satu dipimpin oleh B”.
Maka apabila sampai masanya, rakyat akan memikirkan antara A dengan B, siapa lebih baik menjadi pemimpin negara. Jadi penonjolan masing-masing dibuat semasa dalam lima tahun itu. Jadi tak salah untuk kita mengadakan rentas parti ini.
Tapi apa jaminan kerjasama bipartisan ini tak akan di sabotaj, misalnya menjaja kononnya ada surat sokongan (SD) atau ugut buat undi tak percaya?
Bila kumpulan itu buat perkara-perkara macam itu, rakyat esok yang akan tentukan. Mereka sendiri yang akan nampak, “kumpulan yang A ini baik betul, mereka buat sistem rentas parti dengan kumpulan lain, tapi kumpulan lain itu pula, ada sahaja sudut untuk merosakkan masa depan negara.” Jadi kalaulah ada yang mahu merosakkan, nanti sampai masa pilihan raya ketika kempen, kita akan kempen, “mereka ini tak boleh dipercayai. Kita dah buat serba-serbi (rentas parti), tapi inilah balasan mereka. Itu dan ini mereka sabotaj.
Jadi akhirnya nanti, mereka juga akan rugi. Jadi, keterbukaan seorang pemimpin untuk melihat kejayaan rentas parti dan kebersamaan kerajaan-pembangkang ini, akan menjadi contoh masa depan sebagai seorang pemimpin yang terbuka, yang tidak takut dengan kedudukan pembangkang yang ada bersama untuk membangunkan negara.
‘INDIVIDU MISTERI’
Jika pembangkang mahu menyertai PN, apa syaratnya?
Beginilah, ada sesetengah orang atau kumpulan yang menyertai pembangkang, kerana mereka hanya mahu menjadi pembangkang. Ada sesetengah kumpulan yang mahu jadi pembangkang, kerana dia tak mahu bersama dengan kerajaan. Kenapa? Sebab tak suka kepada kepimpinan kerajaan, tak suka dengan cara kerajaan.
Ada pula satu kumpulan lain yang merasakan, “aku di sini bukan semata-mata sebagai pembangkang, tetapi untuk kepentingan masa depan negara, aku sekarang, mungkin di usia sebegini, maka segala apa pandangan dan idea yang aku ada itu, aku mahu berikan kepada siapa saja pemimpin hari ini supaya masa depan negara bertambah berjaya”.
Jadi ada beberapa kumpulan. Kalau itulah naratifnya, maka sudah tentu kumpulan ini menjadi kecil dan semakin kecil, dan tak mungkin mereka kata mahu bergabung menjadi satu. Ia hanya akan boleh menjadi kumpulan yang boleh bantu-membantu dan menerima, tapi tidak menjadi satu. Ia boleh jadi satu bentuk inklusiviti dari segi pendapat, tapi tidak menjadi satu kumpulan. – MINGGUAN MALAYSIA






