Mukadimah
Mengimbau lorong-lorong sejarah tanah air yang terlakar sejak dunia dibadai pandemik, ternyata ada sisi yang mempamerkan nilai positif. Ini khususnya apabila pandemik seolah-olah jadi ‘orang tengah’ yang meredakan sebentar gasak politik yang tak sudah-sudah.
Buktinya jelas dilihat apabila kerajaan-pembangkang setuju laksanakan gencatan politik dan menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU), demi memberi ruang usaha membaikpulih sosioekonomi dapat dibuat dengan lancar dan berkesan.
Soalnya, betulkah begitu? Apakah semua pihak termasuk kerajaan dan pembangkang benar-benar sudah insaf dan mengambil iktibar dari pandemik Covid-19, serta berganding bahu mengenepikan sengketa demi memakmurkan kembali ekonomi?
Kebetulan sekarang mendekati musim belanjawan serta pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), wartawan Mingguan Malaysia, FAHMI FAIZ mendapatkan perspektif Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. Ia turut dibantu jurukamera MOHD. FARIZWAN HASBULLAH dan juruvideo MUHAMAD IQBAL ROSLI.
MUSTAPA: Makro bermakna sektor ekonomi negara secara menyeluruh. Kita sedia maklum tahun lepas, ekonomi kita menguncup 5.6 peratus, itu untuk memberi gambaran secara keseluruhan. Semua sektor ekonomi utama mengalami penguncupan.Apakah sektor-sektor itu?
Kita ada lima sektor utama, iaitu sektor perkhidmatan, pembuatan, pertanian, perlombongan dan pengkuarian, serta pembinaan. Semua sektor ini telah merudum pada tahun 2020 akibat pandemik. Umpamanya, antara sektor yang paling terkesan oleh pandemik Covid-19 adalah sektor perkhidmatan. Sektor ini menyumbang kepada lebih separuh daripada ekonomi negara kita, iaitu kira-kira 58 peratus telah menguncup sebanyak 5.5 peratus pada 2020. Kebanyakan subsektor di bawah sektor ini mengalami penguncupan besar pada 2020, terutamanya berkaitan pelancongan yang amat terkesan oleh pelaksanaan kawalan pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan negara.
Apa lagi sektor lain turut terjejas?
Perlombongan dan pengkuarian juga mencatat penurunan, merosot sebanyak 10 peratus, disebabkan terutamanya kejatuhan pengeluaran minyak dan gas disebabkan antaranya oleh permintaan minyak dunia yang lemah. Sektor pembuatan pula merosot 2.6 peratus. Namun ia tidak terkesan seteruk dengan sektor ekonomi lain, disokong oleh pertumbuhan positif di beberapa subsektor.
Sektor apa yang paling ketara menampakkan peningkatan sekarang?
Susulan daripada pembukaan ekonomi secara beransur-ansur dengan sokongan suntikan ekonomi kerajaan melalui pakej rangsangan, ekonomi negara semakin kembali pulih pada tahun ini. KDNK negara mencatat pertumbuhan sebanyak 7.1 peratus pada separuh tahun pertama. Semua sektor utama ekonomi telah mencatat pertumbuhan positif kecuali sektor pertanian yang masih mengalami penguncupan yang kecil. Sektor pembuatan yang menyumbang sebanyak kira-kira 23 peratus kepada KDNK negara dan mengaji 2.5 juta pekerja mencatat pertumbuhan yang paling tinggi sebanyak 15.8 peratus pada separuh tahun pertama, disokong oleh permintaan tinggi bagi barangan E&E, kenderaan bermotor dan peralatan pengangkutan. Sektor pembuatan juga satu-satunya sektor ekonomi utama mencatat nilai ditambah yang lebih tinggi berbanding paras sebelum pandemik pada tahun 2019.
MALAYSIA PALING TERUK?
Jika dibandingkan dalam kalangan ASEAN, benarkah Malaysia paling teruk menerima kesan ekonomi akibat Covid-19?
Tak banyak negara dunia yang mengalami pertumbuhan positif pada 2020. Di rantau ini ekonomi Vietnam dan China berkembang positif pada 2020, iaitu masing-masing 2.9 peratus dan 2.3 peratus. Dalam konteks ASEAN, bukan sahaja Malaysia mengalami krisis ekonomi. Hampir semua ekonomi negara-negara ASEAN merudum. Malaysia mencatat penguncupan ekonomi yang besar sebanyak 5.6 peratus, iaitu selepas Myanmar (-10 peratus), Filipina (9.6 peratus), Timor-Leste (-8.7 peratus) dan Thailand (6.1 peratus).
EKONOMI ISI RUMAH
Bagaimana pula kesan pandemik terhadap pendapatan isi rumah, terutama dalam sektor ekonomi mikro?
Secara keseluruhan, terdapat 1.2 juta perusahaan beroperasi di Malaysia. Daripada jumlah ini, kira-kira 1.17 juta atau 97.3 peratus adalah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Ini termasuk 905,000 perusahaan mikro yang pekerjanya lima orang dan ke bawah atau dengan jualan tahunan di bawah RM300,000. Mereka ini yang paling teruk terkesan akibat Covid-19. Ini termasuk peniaga berlesen di tepi jalan, yang buka kedai runcit, berniaga di pasar tani, pasar malam dan basah serta peniaga kecil seperti Mak Cik Kiah di seluruh negara. Mereka ini kais pagi makan pagi. Mereka tidak ada wang simpanan. Kerajaan bantu mereka dengan Geran Khas Prihatin serta bantuan-bantuan lain seperti Bantuan Prihatin Nasional.
Berapa lama diperlukan untuk pulihkan semula ekonomi?
Insya-Allah, Kita akan capai jumlah pendapatan seperti pra-Covid, insya-Allah pada hujung 2022. Maknanya, KDNK pada 2022 dijangka melebihi KDNK pada tahun 2019 iaitu sebanyak RM1.4 trilion.
Ini merangkumi semua sektor penting?
Bukan semua, sektor pelancongan belum pulih lagi. Pemulihan penuh sektor pelancongan dijangka pada 2025.
PEMBANGKANG MASIH PEMBANGKANG
Macam mana Datuk Seri rumuskan tentang Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) kali ini, mengambil kira keadaan negara dibadai wabak dan krisis politik?
Penyediaan RMK12 adalah paling mencabar. Kita telah tunda pembentangannya empat kali. Sepatutnya ia dibentang pada 6 Ogos tahun lepas. Akhirnya pada 27 September tempoh hari baru dibentang, jadi setahun lebih ditunda. Covid-19 telah menjejaskan hasil kerajaan, beri kesan terhadap ekonomi, kesihatan malah ada yang menghadapi tekanan mental. Keadaan amat mencabar dan luar biasa.
Bagaimana pengalaman terlibat merangka RMK, dalam keadaan ombak politik yang bergelora sekarang?
Kita berhadapan tiga krisis iaitu krisis kesihatan, ekonomi dan politik. Walaupun politik bergelora, ia tidak menjejaskan komitmen pegawai-pegawai saya di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE,JPM). Mereka telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pembangkang bagi mendapatkan input. Mereka bertungkus lumus menyiapkan dokumen ini bagi memastikan ekonomi negara dapat dipacu dengan sebaiknya. Alhamdulillah, apabila pada 13 September lalu kita tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan-pembangkang, itu banyak membantu dalam perbahasan. Maknanya perbahasan lebih tertib. Keadaan juga lebih tenang, dan kritikan yang diterima juga lebih membina. Sebelum ini suhu politik amat panas, tapi peristiwa 13 September itu amat membantu.
Maksudnya pembangkang sudah berubah?
Pembangkang masih pembangkang. Mereka mengeluarkan kenyataan yang sesetengahnya tak berasas. Contohnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebut lantik konsultan luar untuk siapkan RMK12. Bayar RM2 bilion. Ini tidak betul sama sekali. Kos untuk menyiapkan RMK-12 amat rendah. Syed Saddiq cakap tentang gaji pencen Menteri sehingga RM100,000. Tak betul kenyataan ini tetapi sudah masuk media sosial sehingga orang percaya. Walaupun Datuk Seri Anwar telah cuba membuat pembetulan tetapi imej kerajaan sedikit terkesan. Umumnya RMK12 diterima baik di Parlimen dan di luar. Malah Tun Dr. Mahathir Mohamad juga yang sekarang ini pembangkang, turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana kejayaan pengurusan pandemik. Sebenarnya kritikan bukan hanya dari pembangkang, Ahli Parlimen kerajaan pun kritik juga. Yang penting kita sebagai sebuah negara perlu ke arah politik matang.
Susulan MoU, adakah pembangkang dipelawa merangka atau memantau pelaksanaan RMK12?
RMK12 ini sudah siap Ogos lagi sebelum MoU ditandatangan tetapi dalam menyiapkan rancangan ini, kita adakan beberapa libat urus termasuk dengan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. Malah sebaik sahaja pembentangan dibuat oleh Perdana Menteri, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang diberikan taklimat bersama. Ini jarang-jarang sekali berlaku. Itu kira norma baharulah.
Selesa dengan budaya baru kerajaan-pembangkang ini?
Dalam karier politik saya tidak pernah ada masalah dengan pembangkang. Saya ambil pendekatan bersifat objektif dan terbuka. Mana yang bagus kita terima. Misalnya, enam tujuh tahun lepas sewaktu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), saya tubuhkan satu kaukus rentas parti babitkan kerajaan-pembangkang ketika itu, ada Pas, ada PKR dan DAP. Dalam tempoh dua tahun itu saya jumpa mereka 14 kali. Melalui sesi libat-urus seperti itulah, akhirnya mereka faham pasal TPPA.
MUSTAHIL CAPAI 30 PERATUS
Apa rancangan kerajaan perkasakan ekuiti bumiputera, mengambil kira kesan pandemik terhadap kumpulan ini?
Ini satu perkara yang penting, iaitu untuk kongsikan kekayaan secara adil dan saksama dengan semua rakyat Malaysia dalam konteks Keluarga Malaysia. Ini bukan satu perkara baru, malah sejak 1971 lagi sewaktu kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kita patut capai sasaran DEB ini termasuklah 30 peratus pemilikan ekuiti pada tahun 1990. Tapi ia tidak tercapai. Semangat ini diteruskan.
Maksudnya?
Saya nak jelaskan di sini penjualan saham atau syarikat bumiputera kepada bumiputera lain dalam RMK12 hanya melibatkan agensi mandat Bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad; Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). Syarikat swasta tidak tertakluk dengan cadangan ini.
Saham yang dicadang untuk dijual ini akan ditawarkan kepada konsortium atau syarikat bumiputera yang berkelayakan, seperti yang dinyatakan dalam Bab 5, dokumen RMK12, Memastikan Pemilikan Ekuiti Korporat Yang Mampan seperti berikut: “Dalam memastikan pemilikan ekuiti sektor korporat bumiputera yang mampan, saham dan syarikat yang dijual oleh agensi mandat bumiputera akan ditawarkan kepada konsortium atau syarikat bumiputera yang berkelayakan”. Jadi tidak timbul isu dasar ini mengambil hak kaum lain.
Bila Datuk Seri sebut masih tak capai 30 peratus ekuiti bumiputera, maksudnya tiada kemajuan?
Ada kemajuan, cuma tak capai sasaran 30 peratus. Ia ada kaitan dengan banyak faktor termasuklah jenis dan kualiti pekerjaan yang diceburi oleh bumiputera. Di sinilah pentingnya, pendidikan, latihan teknikal dan sebagainya. Bumiputera akan mendapat pekerjaan yang berpendapatan tinggi jika mempunyai pendidikan dan berkemahiran tinggi. Bukan itu sahaja, mereka juga boleh membuka perusahaan sendiri. Bila ada wang, mereka boleh beli saham dan ini akan meningkatkan pegangan ekuiti. Pendidikan dalam jangka panjang dan latihan kemahiran adalah antara strategi kita bagi meningkatkan pemilikan ekuiti.
Berapa peratus unjuran pertambahan ekuiti bumiputera menjelang 2022?
Sasaran untuk mencapai 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera adalah pada tahun 2030. Bukan senang capai sasaran ini tetapi kita akan berusaha bersungguh-sungguh.
Kenapa seolah-olah sukar dicapai?
Antara sebabnya adalah dasar pelaburan asing di negara kita. Syarikat asing memiliki 45 peratus ekuiti sektor korporat. Ini kerana kita membenarkan mereka memiliki 100 peratus saham syarikat dalam sektor pembuatan. Kalau tidak ada dasar ini, mungkin mereka tak datang melabur. Rakyat tidak ada pekerjaan.
Maksudnya memang mustahil mahu capai ekuiti 30 peratus bumiputera dalam masa terdekat?
Kalau mahu capai 30 peratus ekuiti bumiputera itu dalam tempoh setahun dua ini memang mustahil. Ia juga melibatkan dasar-dasar lain. Ada dasar lain yang boleh menyokong dan mengekang usaha ke arah itu. Jadi itu antara sebab kenapa ekuiti Melayu dan bumiputera itu masih kurang, kerana dasar terbuka kita. Jadi di sini, apa yang perlu adalah kita kena seimbangkan.
PATUH KEPADA BOS
Macam mana pengalaman berkhidmat di bawah Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob?
Saya bersama sahabat-sahabat dalam Kabinet walaupun berbeza parti, kami bekerja sebagai satu pasukan bersama-sama mendukung visi Perdana Menteri. Sama seperti ketika di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin. Datuk Seri Ismail telah memperkenalkan visi Keluarga Malaysia sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran negara. Visi ini diterima baik rakyat. Kita semua adalah satu keluarga besar. Prinsip saya adalah memberikan perkhidmatan terbaik dan kerjasama sepenuhnya kepada ‘bos’. Saya dah bertugas di bawah beberapa PM. Jadi saya kena sesuaikan diri dengan keadaanlah. Insya-Allah dengan sokongan padu ahli Kabinet dan rakyat, Perdana Menteri akan dapat memimpin negara kita untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.
Dalam banyak-banyak PM yang Datuk Seri pernah berkhidmat, siapa yang paling senang bekerja bersama?
Itu saya jawab kemudianlah, jawab tahun depan.
HUBUNGAN DENGAN UMNO, PAS
Macam mana hubungan Bersatu-UMNO-Pas sekarang?
Idealnya ialah Bersatu, UMNO dan Pas bersama. Kita tahu ada cabarannya tetapi kita berusaha untuk memastikan ketiga-tiga parti ini duduk bersama. Ini bukan semata-mata demi kepentingan Melayu-Islam, tapi juga demi Keluarga Malaysia. Bukan maknanya kita abaikan bangsa lain, tidak. Kita harus inklusif, itulah yang disebut sebagai Keluarga Malaysia.
Macam mana hubungan persahabatan bersama rakan dalam UMNO? Masih berhubung bertanya khabar?
Saya tiada masalah dengan mereka. Walaupun berbeza parti, sahabat tetap sahabat.
PERIBADI
Hobi masa lapang? Ada main golf?
Masa saya yang lapang tak banyak sangat, sebab tuntutan tugas. Sekali dua seminggu saya berjoging dan naik treadmill. Saya ikuti dua tiga kelas dalam talian setiap minggu. Ini rutin saya. Dulu saya suka membaca tetapi sekarang sudah kurang masa untuk membaca.
SERI PERDANA
Komen terhadap langkah kerajaan naik taraf bangunan Seri Perdana?
Lebih baik soalan ini ditanya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR). Mereka lebih arif mengenai perkara ini. Saya tidak boleh menjawab bagi pihak mereka






