Masyarakat Islam kini sedang berada dalam bulan Rejab iaitu salah satu daripada bulan-bulan Haram (al-Asyhur al-Hurum) dalam Islam. Turutan susunan adalah bulan ketujuh dalam takwim atau kalendar Hijrah.
Keistimewaan bulan ini telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan disusuli penjelasan yang lebih terperinci dalam hadis Nabi SAW.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa” (Surah al-Taubah: 36).
Bulan-bulan Haram ini terdiri daripada empat bulan di dalam Islam iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Perkara ini dijelaskan di dalam sebuah hadis sahih, yang telah diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadilakhir dan Sya’ban” (Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 4054).
Rejab dari sudut bahasa bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Selain itu, ia dinamakan bulan Rejab kerana mereka mengagungkan bulan ini ketika zaman jahiliyyah kerana meninggalkan peperangan, pembunuhan dan pertumpahan darah.
Menurut Ibn Kathir, bulan Rejab merupakan bulan yang Haram kerana pada bulan ini diharamkan berperang dan juga disebut bulan yang suci kerana Allah SWT mengharamkan melakukan kezaliman. Setiap kezaliman yang dilakukan dalam bulan ini dosanya adalah lebih besar berbanding di bulan-bulan yang lain. Begitu juga sebaliknya, amal soleh yang dilakukan adalah lebih besar pahalanya berbanding bulan-bulan yang lain (Tafsir Ibn Kathir, 4:130).
KELEBIHAN KHUSUS
Perlu difahami dan ditegaskan kepada masyarakat Islam bahawa bulan ini tidak mempunyai kelebihan yang khusus daripada hadis-hadis yang sahih berkaitan amalan ibadah tertentu.
Namun, tidak pula menghalang masyarakat Islam daripada terus melaksanakan amalan-amalan ibadah seperti biasa yang telah selalu diamalkan di dalam bulan-bulan lain dengan syarat tidak meyakini bahawa amalan ini mempunyai kelebihan-kelebihan yang khusus atau tertentu.
Antara amalan-amalan soleh yang boleh dibiasakan dan diperbanyakkan di bulan ini ialah berpuasa sunat, melaksanakan solat-solat sunat, bersedekah, membaca al-quran, berzikir dan pelbagai lagi amalan yang baik.
Masyarakat Islam sangat dianjurkan memperbanyakkan amalan tersebut di dalam bulan ini kerana diganjarkan pahala yang lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain.
Hal ini disebabkan bulan Rejab termasuk di dalam bulan-bulan Haram yang telah diketahui akan kelebihan bulan-bulan haram berbanding bulan-bulan yang lain.
Seterusnya, beramal di bulan ini juga adalah sebagai persiapan, persediaan dan latihan terbaik untuk membiasakan diri dengan amalan soleh sebelum memasuki bulan Ramadan nanti.
Sempena bulan Rejab ini, marilah bersama mempertingkatkan amalan ibadah dan soleh.
Semoga Allah SWT sentiasa memberi kita taufiq dan hidayah-Nya dalam setiap amalan yang dilakukan agar tidak bercanggah dengan al-Quran dan juga sunnah Rasulullah SAW.
DR. AZRI BHARI Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM
Shah Alam





