KUALA LUMPUR: Peluang Malaysia untuk mengaut emas dalam sukan berbasikal trek semakin sukar jika dua pelumba negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom berada pada acara final keirin di Sukan Olimpik Paris 2024.
Sekiranya dua pelumba Malaysia terbabit berada di pentas final serta mempunyai rancangan ‘berkomplot’ di aksi akhir keirin, dikhuatiri akan ‘memakan diri’ mereka sendiri.
Begitu pendapat bekas tiga kali Olimpik, Josiah Ng yang berkata bahawa walaupun dua atlet berkenaan membawa nama Malaysia namun mereka mempunyai rancangan masing-masing di Paris.
“Saya fikir kalau Shah berada di final, peluang Azizulhasni membawa emas itu menjadi rendah. Azizulhasni ada rancangan dia tersendiri begitu juga dengan Shah.
“Keirin ialah acara individu. Anda semestinya tidak boleh berkerjasama biarpun dalam pasukan yang sama,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu, Josiah bersama Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd. Nazifuddin Najib hadir pada majlis perlancaran kolaborasi baju tempatan bersama MOM, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Josiah menaruh harapan bahawa kedua-dua pelumba itu meletakkan fokus tertinggi ketika saingan di Paris bermula.
Menurut beliau, The Pocket Rocketman akan munculkan dirinya yang sebenar ketika peluang yang tinggi untuk mengaut kemenangan.
“Saya telah menjadi rakannya sejak 2007 dan mengenalinya. Jika melihat data keputusannya, Azizulhasni akan memunculkan dirinya ketika peluang yang cerah.
“Lihat pada separuh akhir keirin di Beijing 2008, final di Rio (2016) gangsa dan Tokyo (2020) pula mendapat perak. Jadi apa seterusnya? Semestinya emas,” katanya.
Untuk rekod, Josiah pernah berlumba beriringan dengan Azizulhasni ketika di Sukan Olimpik Beijing 2008 serta London 2012. – UTUSAN






