PETALING JAYA: Selepas hampir lapan bulan berehat akibat kecederaan serius, pelumba trek wanita negara, Nurul Aliana Syafika Azizan kini memburu impak besar beraksi di pentas antarabangsa pada Piala Trek Asia 2025 di Thailand, hujung Ogos ini.
Pelumba berusia 22 tahun berkenaan menyasarkan kejohanan di Suphanburi itu sebagai medan mengukur keberkesanan fasa pemulihan yang sedang dilaluinya sejak kembali ke trek selepas insiden gegaran otak dan patah tulang rusuk, Oktober lalu.
Aliana mencipta kejutan dalam penampilan sulungnya selepas kecederaan pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2025 di Velodrom Iskandar Puteri, Johor, bulan lalu apabila berjaya meraih perak dalam ujian masa 1 kilometer (km) dan gangsa dalam pecut individu.
“Alhamdulillah, prestasi saya semakin baik selepas pulih dari kecederaan. Masih dalam proses untuk capai tahap terbaik, tapi saya bersyukur dengan pencapaian di Kejohanan Kebangsaan.
“Sekarang berat badan saya sudah naik, jadi saya akan tukar block training yang sepadan dengan berat badan saya,” kata Aliana kepada Nexbyte.
Akibat kecederaan itu Aliana kehilangan lebih 4 kilogram (kg) berat badan ketika fasa pemulihan, namun kini berjaya meningkat kepada 61kg selepas kembali membina otot sejak Aidilfitri lalu.
Pelumba kelahiran Pulau Pinang itu berkata beliau bersyukur tidak berasa pening akibat kecederaan itu di atas trek ketika menjalani latihan sekali gus memberi laluan untuknya membina otot.
“Saya jaga pemakanan saya. Walaupun saya sudah kenyang, saya tetap paksa untuk menambah berat badan saya.
“Perancangan saya untuk bulan ini memang untuk naikkan berat badan sebaik yang boleh,” katanya.
Dengan sasaran jangka panjang membabitkan Sukan Asia 2026 dan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tahun depan, Piala Trek Asia bakal menjadi ujian sebenar pertama buat Aliana pasca kecederaan. – UTUSAN





