MUKADIMAH
KEPUTUSAN komisar perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dalam sukan berbasikal trek mula menimbulkan persoalan, apatah lagi apabila atlet negara seperti Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Datuk Azizulhasni Awang menjadi mangsa keputusan kontroversi.
Insiden menimpa Nurul Izzah pada Kejohanan Dunia 2024 di Denmark, Oktober lalu menjadi episod terbaharu apabila penyertaannya dalam pusingan kedua acara pecut dibatalkan oleh komisar perlumbaan.
Keputusan itu mengingatkan peminat sukan negara kepada nasib malang Azizulhasni yang kemenangannya dalam acara pecut pusingan kedua dibatalkan pada Kejohanan Dunia 2023 di Scotland akibat memasuki lorong lawannya.
Kesalahan mereka jelas seolah-olah ‘berat sebelah’ kerana kejadian ini pernah berlaku kepada pelumba negara Eropah namun tidak dikenakan kesalahan malah diberikan peluang ‘kedua’ untuk berlumba oleh panel komisar.
Persoalannya, adakah ini kelemahan individu, atau sistem pengadilan antarabangsa yang perlu diperbetulkan dari awal?
Wartawan Mingguan Malaysia, Khairul Idham Mohamed Zaraai mendapatkan penjelasan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill, yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif UCI.
Kenapa komisar UCI dilihat seperti pilih kasih, lebih memihak kepada atlet Eropah dan mengetepikan atlet Asia?
AMARJIT: Saya tidak boleh kata ada unsur berat sebelah, tetapi saya percaya pendidikan adalah kunci utama.
Kita perlu memastikan komisar lebih terlatih, lebih faham, dan lebih telus dalam melaksanakan pengadilan tanpa mengira benua.
Bagaimana mahu ‘menapis’ dan melahirkan barisan komisar UCI yang benar-benar berkualiti dan konsisten?
AMARJIT: Kita perlu menaik taraf sistem pendidikan untuk komisar.
Latihan berterusan sangat penting supaya mereka lebih konsisten dalam membuat keputusan, tidak kira siapa pelumba atau dari negara mana.
Adakah PKBM ada cadangan konkrit untuk UCI tentang penambahbaikan pengadilan?
AMARJIT: Ya, saya cadangkan kumpulan komisar yang sama diberi tugasan mengadili beberapa kejohanan utama untuk tiga atau empat tahun berturut-turut, seperti Kejohanan Dunia 2026 hingga 2028.
Ini membolehkan pasukan dan atlet memahami gaya pengadilan mereka, dan pada masa sama memberi ruang penambahbaikan jika ada kelemahan.
Jika sistem ini tidak diperbetulkan segera, apakah kesannya kepada atlet Malaysia di kejohanan besar akan datang?
AMARJIT: Ia boleh memberi kesan besar kerana atlet kita akan terus terdedah kepada risiko keputusan tidak konsisten.
Ini bukan sahaja menjejaskan peluang di podium, tetapi juga menjejaskan keyakinan dan semangat atlet kita.
Adakah situasi ini pernah memberi impak langsung kepada prestasi atlet kita sebelum ini?
AMARJIT: Ya, kita lihat sendiri bagaimana keputusan terhadap Datuk Azizulhasni di Kejohanan Dunia 2023 memberi kesan mental dan emosi yang besar. Atlet bekerja keras bertahun-tahun, tapi satu keputusan yang longgar boleh musnahkan segalanya dalam satu perlumbaan.
Jadi, apa langkah segera yang perlu UCI ambil sekarang?
AMARJIT: Jangan hanya hukum komisar selepas insiden berlaku.
Latihan mesti dibuat lebih kerap, dan komisar perlu dinilai secara profesional, bukan secara politik atau berdasarkan zon geografi. Keadilan dalam sukan harus jadi keutamaan. – UTUSAN





