LONDON: Arsenal menjadi antara kelab yang paling aktif dalam pembelian pemain sepanjang jendela perpindahan ketika ini apabila hampir pasti mendapatkan penyerang Sporting Lisbon, Viktor Gyokeres.
The Gunners dikatakan bersedia mengeluarkan perbelanjaan yang dianggarkan bernilai sehingga 70 juta pound (RM403.2 juta) bagi mendapatkan pemain itu.
Perbincangan lanjut juga diteruskan berkaitan struktur bonus yang boleh dicapai dalam yuran perpindahan tersebut, selepas pemain berusia 27 tahun itu bersetuju dengan syarat peribadi bagi kontrak lima tahun bersama The Gunners.
Nama Gyokeres kembali menjadi fokus Arsenal selepas RB Leipzig enggan menurunkan nilai penyerang mereka dari Slovenia, Benjamin Sesko.
Arsenal sebelum ini mengesahkan pembelian pemain tengah antarabangsa Sepanyol, Martin Zubimendi dari Real Sociedad dengan harga 60 juta pound (RM345.6 juta).
Kelab London itu juga bersedia mengemukakan tawaran rasmi untuk pemain sayap Chelsea, Noni Madueke, selepas wakil pemain England itu bersetuju dengan terma peribadi bersama Arsenal.
Chelsea bagaimanapun dilaporkan mahukan lebih daripada 50 juta pound (RM288 juta) bagi Madueke dan dalam masa sama sudah membuat pertanyaan awal mengenai pemain muda Arsenal, Ethan Nwaneri, yang masih belum menandatangani kontrak baharu.
Arsenal tetap optimis untuk mengekalkan Nwaneri yang berusia 18 tahun itu dan sedang berusaha mencapai persetujuan bersama ejennya.
Selain itu, Arsenal juga bercadang mengemukakan tawaran baharu untuk pertahanan tengah Valencia, Cristhian Mosquera serta merancang satu lagi tawaran bagi pemain serangan Crystal Palace, Eberechi Eze, yang mempunyai klausa pelepasan bernilai 68 pound juta (RM391.6 juta). – AGENSI/UTUSAN






