LONDON: Arsenal yang dikendalikan oleh Mikel Arteta dijangka terus berdepan masalah untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, sama seperti tiga edisi terdahulu.
Namun, jika penyerang baharu, Viktor Gyokeres dapat menyesuaikan diri dengan tahap kompetitif pertandingan dan Arteta perlu memiliki perancangan tambahan sekiranya berdepan isu kecederaan, skripnya akan berubah.
Bekas pertahanan England, Micah Richards tetap percaya The Gunners mampu tampil sebagai pencabar kejuaraan jika dua elemen penting itu Berjaya diatasi oleh Arteta.
“Membawa masuk Gyokeres adalah sesuatu yang bagus buat Arsenal, bukan hanya kerana dia adalah pemain nama besar tetapi sebab gerakan yang ada padanya yang mampu memusnahkan lawan.
“Kai Havertz juga bagus untuk posisi nombor 10 di mana dia mampu mencipta peluang tetapi tidak ada naluri selaku penyerang.
“Jadi Gyokeres akan menghadirkan nilai tambah kepada pasukan, namun saya tidak tahu sama ada ia mencukupi untuk Arsenal. Jika ada satu atau dua isu kecederaan, Arsenal akan kembali seperti musim lalu.
“Apa yang saya boleh katakan, mereka mampu menghadirkan cabaran tetapi mungkin tidak bergelar juara,” kata bekas pertahanan Aston Villa dan Manchester City itu.
Dua legenda England, Gary Lineker dan Alan Shearer turut meramalkan bahawa Arsenal bakal mengharungi satu lagi musim mengecewakan selepas sekadar menamatkan saingan di tempat kedua dalam tiga musim berturut-turut. – AGENSI/UTUSAN






