KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai ahli majlis badan induk itu.
Presiden BAM, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Chong Wei akan ditempatkan dalam majlis terlebih dahulu sebelum secara logiknya dipertanggungjawabkan ke jawatankuasa prestasi selepas struktur baharu dimuktamadkan.
“Pelantikan ini bukan sekadar simbolik, tetapi tanda kita serius mahu melibatkan tokoh berpengalaman dalam menentukan hala tuju badminton negara.
“Chong Wei akan berada dalam majlis terlebih dahulu dan selepas jawatankuasa dimuktamadkan, secara logik beliau akan ditempatkan dalam jawatankuasa prestasi,” kata Zafrul kepada pemberita selepas mesyuarat ahli majlis di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Selain Chong Wei, BAM turut membawa masuk tiga lagi tokoh luar sebagai ahli majlis iaitu Tan Sri Gooi Hoe Soon, Datuk Seri Shazalli Ramly dan Datuk Sunil Abraham bagi memperkukuh kepakaran dalam bidang kewangan, pemasaran serta perundangan.
Menurut Zafrul, pembaharuan ini penting bagi memperkemas struktur BAM yang sering dipersoalkan terlalu birokratik serta lambat bertindak dalam isu prestasi atlet.
Kehadiran Chong Wei diyakini mampu menjadi jambatan antara pengurusan BAM dengan pemain, jurulatih serta komuniti badminton yang masih menyanjung pandangan beliau sebagai legenda dunia.
“Apabila beliau bersuara soal persediaan atlet, ia lahir daripada pengalaman sebenar sebagai bekas pemain No. 1 dunia, dan itu akan beri kesan besar.
“BAM perlukan suara seperti ini supaya hala tuju baharu kita tidak hanya cantik di atas kertas, tetapi benar-benar diterjemahkan di gelanggang,” tambahnya.
Pelantikan pemenangan tiga kali pingat perak Sukan Olimpik itu hadir seiring dengan pelancaran pelan transformasi BAM yang mensasarkan kejuaraan Piala Thomas, emas Olimpik dan kedudukan No. 1 dunia dalam beberapa kategori. – UTUSAN





