LONDON: Bintang Liverpool, Mohamed Salah lantang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap badan induk bola sepak Eropah UEFA, berkaitan penghormatan yang diberikan kepada Suleiman Al-Obeid yang digelar ‘Pele Palestin’ selepas organisasi itu gagal menyatakan punca sebenar kematian legenda bola sepak berkenaan minggu ini.
Persatuan Bolasepak Palestin (PFA) memaklumkan, Suleiman, 41, terbunuh susulan serangan udara Israel yang menyasarkan orang awam ketika mereka menunggu bantuan kemanusiaan di selatan Semenanjung Gaza, Rabu lalu.
Dalam hantaran ringkas di platform media sosial X, UEFA menyifatkan bekas pemain kebangsaan itu sebagai pemain berbakat yang memberi harapan kepada kanak-kanak meskipun berdepan situasi sukar.
“Beliau adalah bakat yang memberi harapan kepada ramai kanak-kanak, walaupun pada saat-saat paling sukar,” tulis UEFA.
Salah membalas: “Bolehkah anda beritahu kami bagaimana beliau meninggal dunia, di mana, dan mengapa?”
UEFA setakat ini belum memberikan sebarang kenyataan lanjut berkaitan kematian Suleiman.
Bintang Mesir berusia 33 tahun itu sebelum ini pernah menyuarakan gesaan supaya bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza sepanjang perang yang hampir dua tahun.
PFA kemudian memuat naik kenyataan di Facebook yang dikaitkan dengan Presiden UEFA, Aleksander Ceferin, yang menyifatkan Al-Obeid menjadi bukti kegembiraan walaupun berada dalam situasi sukar.
“Beliau menyalurkan bakat dan dedikasinya kepada kanak-kanak Gaza dan memberikan mereka harapan untuk bermimpi walaupun dalam penderitaan.
“Kehilangannya adalah satu kerugian besar kepada dunia bola sepak dan kepada semua yang mengakui kekuatan sukan dalam menyatukan manusia,” tulis PFA.
Menurut PFA, sejak Oktober 2023, seramai 325 pemain, jurulatih, pentadbir, pengadil dan ahli lembaga kelab dalam komuniti bola sepak Palestin terkorban dalam konflik Israel-Hamas. – AGENSI/UTUSAN






