LONDON: Penyerang Liverpool, Mohamed Salah menjadi pemain pertama memenangi anugerah Pemain Lelaki Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) buat kali ketiga, semalam.
Pemain antarabangsa Mesir itu menerima anugerah berkenaan selepas memainkan peranan besar ketika membantu Liverpool meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim pertama kendalian Arne Slot.
Musim lalu, Salah menjaringkan 29 gol dan mencipta 18 bantuan gol untuk membawa The Reds menjuarai gelaran liga utama England buat kali ke-20 ketika berbaki empat perlawanan musim lalu.
Sebelum ini, pemain berusia 33 tahun itu turut memenangi anugerah Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA) dan Pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris atas kecemerlangannya di atas padang.
Untuk rekod, Salah juga pernah meraih anugerah itu pada musim 2017/18 dan 2021/22.
Salah turut tersenarai dalam Pasukan Terbaik Liga Perdana PFA 2024/25 bersama rakan sepasukan, Liverpool, Virgil van Dijk, Ryan Gravenberch dan Alexis Mac Allister.
Milos Kerkez, yang berpindah ke Anfield dari Bournemouth pada Jun lalu, juga dipilih, selain tiga pemain Arsenal iaitu William Saliba, Gabriel Magalhaes dan Declan Rice.
Matz Sels dan Chris Wood mendapat pengiktirafan susulan musim cemerlang mereka di Nottingham Forest, manakala penyerang Newcastle, Alexander Isak, yang mahu berpindah, turut tersenarai selepas menamatkan musim di tempat kedua di belakang Salah dalam perebutan Kasut Emas.
Pemain Arsenal, Mariona Caldentey, memenangi anugerah Pemain Terbaik Wanita selepas peranannya membantu The Gunners menjuarai Liga Juara-Juara.
Pemain tengah Sepanyol itu menjaringkan 19 gol dalam semua pertandingan, termasuk lapan dalam Liga Juara-Juara, pada musim pertamanya di England.
Olivia Smith yang baru-baru ini menyertai Caldentey di Arsenal dengan nilai perpindahan rekod dunia 1 juta pound (RM5.6 juta), turut memenangi anugerah Pemain Muda Wanita Terbaik selepas musim cemerlangnya bersama Liverpool. – AGENSI/UTUSAN






