LONDON: Arsenal menandatangani pemain kebangsaan Ecuador, Piero Hincapie secara pinjaman selama semusim daripada Bayer Leverkusen bagi menguatkan benteng pertahanan skuad kendalian Mikel Arteta.
Hincapie berpeluang berpindah secara tetap ke Arsenal pada penghujung musim ini dengan nilai perpindahan yang dijangka boleh mencecah sehingga 45 juta pound (RM266 juta) dengan klausa yang bakal dipersetujui.
Pemain berusia 23 tahun itu membuat lebih 100 penampilan bersama Leverkusen sejak menyertai kelab Bundesliga itu pada 2021, selain memainkan peranan penting ketika membantu mereka menjuarai Bundesliga musim 2023/2024.
Arteta juga percaya Hincapie mampu memberikan kepelbagaian di barisan pertahanan dan merealisasikan impian kelab untuk mengakhiri Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan lebih cemerlang musim ini.
“Kami amat gembira mengalu-alukan Hincapie ke kelab ini. Dia memiliki kelebihan fizikal, dengan kepelbagaian serta fleksibiliti taktikal yang memberi kami lebih banyak pilihan di bahagian pertahanan.
“Dia seorang berperwatakan besar, dengan gabungan baik antara anak muda dan kematangan. Kehadirannya pasti menjadikan skuad kami lebih kuat dan kompetitif sepanjang musim ini. Kami mengalu-alukannya dan keluarganya ke Arsenal,” kata Arteta.
Hincapie menjadi pemain kelapan yang dibawa masuk Arteta sejak berakhirnya musim lalu selepas ketibaan Viktor Gyokeres, Martin Zubimendi, Christian Norgaard, Noni Madueke, Kepa Arrizabalaga, Cristhian Mosquera dan Eberechi Eze.
Hincapie sudah membuat 46 penampilan bersama Ecuador, termasuk dalam skuad Piala Dunia 2022 serta Copa America pada 2021 dan 2024.
Dia memilih menyarung jersi nombor lima di Arsenal dan akan melapor diri selepas selesai tugasan antarabangsa bersama Ecuador. – AGENSI/UTUSAN






