LONDON: Arsenal mempamerkan kematangan luar biasa ketika menumpaskan Newcastle 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.
Pengendalinya, Mikel Arteta berkata, kemenangan berkenaan juga membuktikan keazaman The Gunners untuk bergelar juara pada musim ini.
Kemenangan di St James’ Park itu hadir menerusi dua jaringan lewat selepas Nick Woltemade meletakkan Newcastle di depan pada babak pertama.
Namun, Arsenal bangkit apabila Mikel Merino menanduk masuk gol penyamaan minit ke-84 sebelum Gabriel Magalhaes melengkapkan kebangkitan dramatic.
Arteta berkata, skuadnya sudah menunjukkan tanda-tanda mampu melangkah ke fasa baharu dalam misi memburu kejuaraan pertama sejak 2004.
“Kami berbincang bahawa untuk ke tahap seterusnya, anda perlu belajar daripada masa lalu. Kami sudah melalui detik sukar di stadium ini, tetapi hari ini adalah peluang untuk menunjukkan siapa kami, siapa yang kami mahu jadi, dan cara kami mahu bermain,” kata Arteta.
Arsenal menamatkan rekod buruk tiga kekalahan berturut-turut di St James’ Park, sekali gus menutup mulut pengkritik selepas gagal menewaskan Liverpool dan Manchester City pada awal musim.
Sementara itu, bagi Newcastle, luka lama berdarah kembali selepas sebelum ini tewas 2-3 kepada Liverpool hasil gol minit ke-100. – AGENSI/UTUSAN






