TOKYO: Armand Duplantis terus membuktikan dia adalah raja lompat galah apabila memecahkan rekod dunia buat kali ke-14 dengan catatan 6.30 meter (m) di Kejohanan Olahraga Dunia di sini, kelmarin.
Jaguh Sweden itu terlebih dahulu mempertahankan gelaran dunia dengan lompatan 6.15m sebelum melakukan percubaan terakhir yang memukau lebih 53,000 penonton di Stadium Olimpik Tokyo.
“Saya rasa satu-satunya cara untuk meninggalkan Jepun adalah dengan rekod dunia, itu mentaliti saya sepanjang hari ini.
“Saya tidak fikir apa-apa lagi buat masa ini, saya hanya mahu menikmati detik ini kerana sejak awal lagi saya yakin rekod itu ada dalam diri saya,” kata Duplantis.
Selepas memastikan emas, Duplantis terus meraikan kejayaan dengan gaya tersendiri apabila melompat ke tempat duduk penonton sebelum berkucup mesra dengan tunangnya, Desire Inglander.
Dia kemudian berlari ke arah ibu bapanya untuk pelukan penuh emosi, sekali gus menggambarkan kejayaan itu hasil sokongan kuat keluarga yang sentiasa bersamanya.
Saingan lain sekadar menjadi pelengkap apabila Emmanouil Karalis dari Greece meraih perak dengan 6.00m manakala Kurtis Marschall dari Australia membawa pulang gangsa menerusi catatan peribadi terbaik 5.95m. – AGENSI/UTUSAN






