LONDON: Gael Clichy yang membarisi skuad ‘Invincibles’ 2003-04, menjuarai EPL tanpa kalah, mengakui identiti Arsenal yang sinonim dengan gaya permainan menarik ketika era Arsene Wenger kini sudah hilang.
Beliau turut bimbang terhadap pendekatan Arteta di kelab itu, dengan mendakwa Arsenal seolah-olah gembira kerana tidak kalah berbanding berusaha untuk menang.
Arsenal kembali beraksi dalam saingan EPL berdepan Nottingham Forest hari ini selepas melalui tempoh rehat antarabangsa dengan kekecewaan susulan kekalahan kepada Liverpool.
The Gunners tewas 0-1 di Anfield dalam aksi terakhir mereka, hasil sepakan percuma menarik Dominik Szoboszlai, sekali gus meletakkan The Reds menerajui kedudukan teratas EPL.
Arsenal kini bersiap sedia menghadapi cabaran getir menentang Nottingham yang kini dibimbing bekas pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou selepas pemecatan Nuno Espirito Santo.
Arsenal menerima kritikan berkaitan corak permainan mereka di bawah bimbingan Arteta, yang lebih menekankan aspek bertahan dan ancaman menerusi situasi bola mati berbanding gaya serangan bebas seperti kebiasaan.
Meskipun Arsenal membelasah Leeds United 5-0 dalam perlawanan kedua musim ini, mereka hanya menang 1-0 ke atas Manchester United dalam aksi pembukaan hasil gol daripada sepakan penjuru dan kelihatan tumpul ketika berdepan Liverpool.
“Arsenal kini berada di satu tahap di mana idea dan identiti bola sepak Arsene Wenger sudah tidak banyak kelihatan. Kita tidak lagi bercakap mengenai betapa hebatnya Arsenal bermain tetapi tentang betapa sukar mereka untuk dibolosi atau betapa berkesannya mereka dalam situasi bola mati.
“Jangan salah faham, itu bagus dan sebahagian daripada permainan yang perlu dimanfaatkan, tetapi jika kita bandingkan pasukan Arsenal dahulu dan Arsenal sekarang, sudah tiada persamaan.
“Kita kena terima pengurus mahukan sesuatu yang berbeza. Mungkin dengan pemain sayap dan penyerang yang ada, kita akan lihat sedikit gaya lama.
“Bila lihat perlawanan menentang Liverpool, kita nampak sebuah pasukan yang bukan berusaha untuk menang,” jelasnya. – AGENSI/UTUSAN






