KANGAR: Jurang daripada segi kualiti permainan dan pengalaman dimiliki pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) II menyukarkan Perlis Guar Syed Alwi (GSA FC) memberikan tentangan.
Dalam aksi Liga A1 Semi Pro di Stadium Tuanku Syed Putra di sini kelmarin, JDT II yang tewas kepada Seoul Phoenix FC sebelum ini ibarat harimau terluka apabila bangkit membaham Singa Utara 4-0.
Presiden Perlis GSA FC, Izizam Ibrahim berkata, kekalahan tersebut bagaimanapun tidak mematahkan semangat Perlis yang tetap memberi saingan ketika menentang JDT II itu.
Katanya, beliau juga bercadang untuk mendapatkan satu atau dua pemain import selepas ini bagi memperkuatkan pasukan yang dibarisi keseluruhan anak tempatan.
“Beza kita dengan JDT II ini terlalu jauh, mereka import juga ramai. Gaji dua pemain JDT sahaja, saya rasa sama nilai dengan perbelanjaan kita untuk pasukan selama sebulan.
“Pada babak kedua, apabila JDT mengeluarkan pemain import, kita dapat melihat permainan lebih seimbang dengan JDT II hanya mampu jaringkan satu gol sahaja. Jika kita dapat sempurnakan sepakan penalti pada babak awal separuh masa kedua itu, saya rasa rentak perlawanan boleh berubah.
“Kita baru beraksi empat perlawanan dan akan bangkit lebih baik selepas ini,” katanya kepada Nexbyte.
Dalam aksi kelmarin, JDT II tidak menunggu lama apabila mendahului Perlis seawal minit ke-9 menerusi jaringan Syukur Faris yang menyudahkan hantaran Muhammad Alif Abd. Mutalib dari sebelah kanan padang.
Selang tujuh minit kemudian, JDT II menambah jaringan hasil rembatan deras dalam kotak penalti oleh Ziad El Basheer yang gagal diselamatkan penjaga gol, Kamarul Hilmi Adenan.
JDT II meneruskan pesta gol, apabila berjaya menambah jaringan ketiga pada minit ke-32 hasil lipatan gunting cantik oleh Jean Franco Casquete Granja dalam kotak penalti.
Perlis GSA berpeluang bangkit pada babak awal permainan separuh masa kedua, namun tidak memanfaatkan peluang apabila Mohammad Faizal Kadir gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-50.
Ketika Singa Utara cuba bangkit dan berusaha mencari gol semangat, JDT II terus menghukum kealpaan Perlis apabila memperolehi jaringan keempat hasil tandukan Muhammad Shafizan Mohamad Arshad yang datang dari arah belakang menyempurnakan hantaran cantik Muhammad Alif pada minit ke-57.
Kemenangan bergaya itu menyaksikan JDT II naik ke tangga ketujuh liga selepas memungut enam mata hasil tiga perlawanan, manakala Perlis GSA yang kekal dengan empat mata di kedudukan ke-10 hasil empat perlawanan setakat ini.
Sementara itu, Izizam berkata, beliau yakin, Perlis mampu bangkit memberi saingan lebih hebat jika dibantu dengan kehadiran pemain import selepas ini. – UTUSAN





