PETALING JAYA: Nasib tidak menyebelahi pemain skuasy negara, Aifa Azman apabila terpaksa menarik diri sewaktu mendahului Melissa Alves dari Perancis 2-1 gara-gara kecederaan kepala pada pusingan kedua Kejohanan Klasik Qatar di Doha, semalam.
Aifa mendahului pemain ranking ke-20 dunia itu 11-9, 7-11, 11-7 dan ketika mata terikat 2-2 dalam set keempat, pemain berusia 23 tahun itu terjatuh sehingga menyebabkan kepalanya terhantuk di lantai gelanggang kaca Kompleks Skuasy & Tenis Khalifa.
Pemain kelahiran Kedah itu tidak dibenarkan meneruskan permainannya selepas dia gagal melepasi Ujian Penilaian Gegaran Otak (Sport Concussion Assessment Test) dan terpaksa memberikan kemenangan percuma kepada lawannya.
Insiden menimpa Aifa, meninggalkan bintang No. 7 dunia, S. Sivasangari dan adiknya, Aira meneruskan cabaran suku akhir pada kejohanan bertaraf platinum itu.
Jurulatih skuasy kebangsaan, Sharil Shahidan berkata, Aifa sebenarnya masih mahu meneruskan permainan tetapi pasukan perubatan yang merawatnya tidak membenarkan dia masuk kembali ke dalam gelanggang.
“Oleh disebabkan pengadil membuat keputusan insiden yang menimpa Aifa tidak melibatkan pihak lawan yang menjadi punca kecederaan dialami, jadi, Aifa dikira kalah,” katanya ketika dihubungi Nexbyte di sini, semalam.
Menurut Sharil, Aifa kemudiannya telah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan pengesahan lanjut berhubung gegaran otak yang dialaminya.
“Saya masih menunggu laporan daripada jurulatih di sana (di Doha), buat masa ini saya difahamkan Aifa masih terasa tekanan di kepala dan sakit bahagian leher, saya kena tengok balik laporan itu nanti,” katanya.
Sharil menjelaskan, kecederaan kepala menimpa Aifa bukan kali pertama terjadi kerana pemain itu pernah berdepan isu serupa sewaktu menyertai Kejohanan Skuasy Individu Asia di Kuching, Sarawak, baru-baru ini. – UTUSAN






